KUALA LUMPUR 6 April – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Hari Belia Negara bagi Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Kebangsaan 2026 secara hybrid melibatkan Sekretariat MBM dan Majlis Belia Negeri Sembilan bertempat di Wisma MBM.
Mesyuarat dipengerusikan Timbalan Presiden MBM, Sdr. Azman Azeez yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hari Belia Negara MBM.
Mesyuarat kali pertama ini memberi fokus kepada pembentangan konsep, hala tuju serta strategi pelaksanaan sambutan HBN 2026 yang dijangka tampil dengan pendekatan lebih segar, inklusif dan berimpak tinggi selari dengan aspirasi pembangunan belia negara.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk :
– Pemerkasaan penglibatan belia akar umbi secara menyeluruh
– Pendekatan program berteraskan kemahiran, keusahawanan dan kepimpinan
– Penggunaan platform digital dan teknologi bagi memperluas capaian
– Kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan, swasta dan NGO
Sdr. Azman dalam ucapannya menegaskan bahawa sambutan HBN 2026 bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform penting untuk memperkasa suara dan potensi belia sebagai pemacu masa depan negara.
“Penganjuran tahun ini perlu lebih dinamik, relevan dengan keperluan semasa belia serta mampu memberi impak jangka panjang kepada pembangunan negara,” ujar beliau.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah barisan kepimpinan Majlis Belia Negeri Sembilan serta Sekretariat MBM yang akan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perancangan dan pelaksanaan program.
Mesyuarat ini juga menjadi titik permulaan kepada gerak kerja bersepadu semua pihak dalam menjayakan Sambutan Hari Belia Negara 2026 sebagai platform yang bukan sahaja meraikan belia, malah mengangkat peranan mereka sebagai rakan strategik pembangunan negara.







