Kuala Lumpur | 8 Mei 2025 – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) Bil. 1/2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) dan dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
Mesyuarat penting ini turut dihadiri oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan; YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; serta YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
MBM diwakili oleh Presiden, Sdr. Izzat Afifi Abdul Hamid, dan Setiausaha Agung, Sdr. Farhan Rosli, selaku ahli tetap mesyuarat.
Mesyuarat kali ini memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembangunan belia negara secara menyeluruh dan strategik, termasuk melalui pengukuhan program di bawah platform Rakan Muda yang telah diberi nafas baharu.
Antara keputusan penting yang dicapai ialah pelaksanaan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2025 secara besar-besaran di tiga peringkat iaitu daerah, negeri dan kebangsaan. Acara kemuncak sambutan peringkat kebangsaan akan diadakan pada 13 hingga 15 Jun 2025 dan dijangka disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.
YAB Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan sokongan penuh kepada KBS dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), khususnya melalui pelaksanaan program pencegahan dan intervensi awal yang lebih menyeluruh dan berfokus bagi menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.
Selain itu, mesyuarat juga bersetuju dengan pelaksanaan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 serta Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 sebagai inisiatif jangka panjang untuk membina generasi muda yang berdaya tahan, berakhlak mulia dan bersedia menggalas tanggungjawab kepimpinan negara pada masa hadapan.
MBM menyambut baik komitmen tinggi kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan belia dan akan terus memainkan peranan aktif dalam menyumbang idea, tenaga dan kepakaran bagi merealisasikan aspirasi belia Malaysia selari dengan wawasan MADANI.


