KUALA LUMPUR 21 Julai – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid hari ini telah mengetuai delegasi MBM dalam satu kunjungan hormat ke atas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Dato’ Haji Ya’cob Haji Samiran di ibu pejabat JLKN di sini.
Pertemuan ini berlangsung dalam suasana yang cukup positif dan terbuka, menyentuh tentang sinergi dua institusi penting JLKN dan MBM dalam mendepani cabaran membina generasi muda yang berjiwa patriotik, berdaya saing dan berwawasan kebangsaan.
Presiden MBM menyatakan komitmen penuh MBM untuk menyumbang secara aktif dalam pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan menawarkan pendekatan yang segar dan berpaksikan realiti semasa belia.
Insya-Allah, MBM akan terlibat dalam beberapa siri latihan PLKN akan datang untuk memberikan pendedahan langsung kepada para pelatih berkenaan dunia persatuan belia, kepimpinan akar umbi, peluang pembangunan bakat serta ekosistem belia yang lebih luas dan dinamik.
Bagi MBM, PLKN bukan sekadar program latihan, tetapi sebuah wadah pembinaan karakter dan jati diri, menyemai nilai cinta negara, disiplin kendiri dan semangat khidmat untuk masyarakat.
Turut hadir bersama dalam pertemuan ini ialah Timbalan Presiden MBM, Sdr. Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez, Exco MBM merangkap Jawatankuasa Pembangunan Bakat MBM, Sdr. Ahmad Syahir Abdul Razak serta Sdri. Nuriffah Atiqah Ismail.
MBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ KP JLKN atas keterbukaan dan kesediaan untuk membina jalinan kerjasama yang bermakna demi masa depan anak muda Malaysia.


