Oleh :
Sdr. Sivanesan Tamil Selvam
Ahli Majlis Tertinggi
Majlis Belia Negeri Selangor
Pendidikan adalah aspek penting dalam pembangunan negara dan Malaysia telah lama mengiktiraf kepentingan mencapai kecemerlangan akademik di kalangan pelajarnya.
Walau bagaimanapun dalam usaha mencapai matlamat ini, sering kali terdapat risiko mengabaikan pembangunan kemahiran vokasional di kalangan pelajar.
Semakin ramai pelajar yang menghadapi cabaran akademik dan kegagalan dalam mengejar kecemerlangan, adalah penting untuk kita tidak melupakan perlunya mengimbangi pendekatan ini dengan memberi tumpuan kepada kemahiran vokasional.
Sebagai satu langkah proaktif, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk mencari titik persamaan dalam menyelaraskan kecemerlangan akademik dan kemahiran vokasional di dalam sistem pendidikan negara.
Ini termasuk memberikan peluang sama rata kepada pelajar untuk menyertai program-program yang menumpukan kepada kedua-dua aspek ini.
Majlis TVET Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan dalam kerjaya yang melibatkan latihan vokasional. Perlu ada penekanan dalam memastikan bahawa peluang untuk mempelajari kemahiran praktikal dan vokasional terus disokong dan diperluaskan.
Kerjasama yang erat antara sektor pendidikan dan industri juga perlu diperkukuhkan untuk memastikan penekanan kepada kemahiran vokasional yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua bagi pelajar peringkat menengah untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, ibu bapa memegang peranan utama dalam membantu pelajar menentukan arah pendidikan mereka. Mereka perlu memberikan kebebasan kepada anak-anak mereka untuk memilih bidang pengajian yang sesuai dengan minat, bakat, dan kecenderungan mereka.
Pengiktirafan terhadap kepelbagaian bentuk kecerdasan dan bakat perlu diterapkan, dan ibu bapa perlu memberikan sokongan positif terhadap pilihan pendidikan anak-anak mereka.
Dalam usaha memastikan keseimbangan di antara kecemerlangan akademik dan kemahiran vokasional, keseluruhan sistem pendidikan dan masyarakat perlu bergerak seiring.
Keseimbangan ini adalah kunci untuk menghasilkan graduan yang tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga mahir dalam kemahiran praktikal yang diperlukan dalam dunia pekerjaan.
Tarikh : 12 Disember 2023
*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis