MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM yakin pendidikan TVET mampu mengubah landskap ekonomi negara

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong inisiatif kerajaan dalam meningkatkan penjenamaan dan reputasi Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk melalui Program Dermasiswa B40 TVET melibatkan 1,000 orang pelajar dengan dana sebanyak RM36.41 juta.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengisytiharkan tarikh 2 Jun sebagai Hari TVET Negara. Sesungguhnya ini merupakan berita baik kepada semua penggiat TVET negara yang bertungkus lumus dalam memastikan aliran ini dapat diangkat ke tahap yang lebih baik.

Sepertimana yang disebut Perdana Menteri semasa merasmikan Majlis Perasmian Minggu TVET Negara Tahun 2022, beliau menjadikan Korea Selatan dan Jerman sebagai negara contoh dalam pembangunan pendidikan TVET yang baik sehingga mengubah landskap ekonomi negara sehingga mampu muncul sebagai kuasa besar ekonomi dunia.

Dengan kemampuan yang dimiliki negara, di samping sokongan kuat daripada pihak kerajaan, MBM yakin negara kita juga mampu untuk menjadi kuasa ekonomi global asalkan dana yang diperuntukkan untuk pembangunan TVET ini diagihkan sebaiknya.

MBM berpendapat negara mempunyai terlalu banyak agensi yang mengendalikan pendidikan TVET ini. Berdasarkan pemerhatian, terdapat 11 agensi dan kementerian yang terlibat dalam menyediakan pendidikan TVET di Malaysia. Perkara sebegini akan menjurus kepada pembaziran di mana peratusan untuk kos pengurusan oleh agensi-agensi yang terlibat akan melebihi kos yang sepatutnya digunakan bagi menaik taraf proses pendidikan TVET itu sendiri. Ianya bersifat kontra dengan negara maju yang lain di mana hanya satu hingga tiga sahaja agensi yang bertanggungjawab dalam menyelaras pendidikan TVET di negara mereka.

Selain itu, aspek lain yang perlu dititikberatkan adalah menarik minat dan kesedaran belia itu sendiri dalam menceburi bidang TVET. Langkah promosi dan penerangan perlu diperbanyakkan sejak di peringkat sekolah lagi bagi membuka mata belia tentang potensi bidang ini di masa hadapan sekali gus dapat dijadikan pilihan utama dalam menyambung pengajian.

Ianya selaras dengan slogan ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’ yang diperkenalkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memposisikan TVET di laluan pendidikan utama.

MOHAMED KHAIRUL AZMAN ABDUL AZEEZ

Naib Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 22 Jun 2022

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »