Wednesday, 10 March 2010
Kuala Lumpur, 10 Mac 2010 – Ramai antara kita hanya sedar bahawa isu AIR adalah isu yang hanya melibatkan kepenggunaan air secara domestik sahaja. Isu air bagi kita, hanyalah isu yang remeh temeh dan kita sebagai pengguna air hanya memikirkan bagaimana untuk membayar bil air setiap bulan. Tetapi sebenarnya, disebalik pandangan kita itu, isu air merupakan isu yang amat penting samada pada peringkat nasional mahupun antarabangsa. Air merupakan sumber yang penting dan masyarakat seharusnya sedar tentang perkara ini. Faktor air juga boleh menentukan ekonomi sesebuah negara serta taraf sosial masyarakatnya. Sedar tentang kepentingan air ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAn) bersedia untuk menggerakkan seluruh belia bagi memberi kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya air ini. Kesediaan MBM ini telah dinyatakan sendiri oleh Presiden MBM, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan Setiasuaha MBM, Sdr. Mohd Zaidi Aziz ketika mengadakan pertemuan dengan pihak SWAn yang diwakili oleh Naib Presidennya, YBhg. Dato’ Muhammad Azaham Abdul Wahab, yang juga mantan Presiden MBM. Pertemuan selama 2 jam ini banyak membincangkan kerjasama yang boleh diadakan antara 2 pihak.