KUALA TERENGGANU 12 Dis – Majlis Belia Malaysia (MBM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas undangan ke Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) Kali Ke-21/2025 yang telah berlangsung dengan jayanya di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Nerus.
Kehadiran MBM diserlahkan melalui barisan kepimpinan tertinggi yang diketuai oleh Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, bersama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Ahmad Farhan Rosli, Penolong Setiausaha Agung MBM, Sdri. Ng Chor Eng serta Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Mohd Izham Ahmad, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan MBM dalam memperkukuh hubungan strategik dengan gerakan belia di peringkat negeri.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Abdul Kahar Abdul Latif, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, yang menegaskan bahawa peranan belia bukan sekadar sebagai pemimpin masa hadapan, malah merupakan pemimpin masa kini yang perlu tampil proaktif dalam memperkukuh agenda pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
MBM merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada barisan kepimpinan baharu MBNT yang telah dipilih. Diharapkan kepimpinan ini mampu terus menggerakkan nahdah gerakan belia berteraskan kekuatan akar umbi, memperkukuh kesatuan organisasi serta membawa suara dan aspirasi belia Terengganu ke tahap yang lebih progresif, inklusif dan berimpak.
Sesungguhnya, belia bukan sekadar pelengkap demokrasi, malah merupakan pemacu utama perubahan negara.




