Majlis Belia Malaysia (MBM) sangat menyokong dasar dan polisi kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam isu kesihatan awam demi memastikan kesihatan rakyat Malaysia terjamin.
Bersempena dengan Hari Tanpa Tembakau pada 31 Mei 2022 bagi mengatasi isu dan masalah merokok di Malaysia, MBM mengambil maklum dan menyokong hasrat KKM untuk membentangkan satu akta baharu bagi kawalan hasil tembakau dan merokok supaya aktiviti pencegahan dan kawalan yang lebih komprehensif dapat dilaksanakan.
Cadangan untuk melaksanakan peruntukan Generational End Game (GEG) atau Generasi Penamat adalah merupakan satu usaha yang sangat baik dan dilihat mampu untuk menurunkan peratus perokok di Malaysia. Ini sekaligus akan dapat mengurangkan beban kepada kos rawatan penyakit akibat komplikasi merokok.
Elemen penting dalam GEG ini ialah :
- Mengurangkan prevalan merokok kurang kepada 5%;
- Menamatkan penjualan komersial produk tembakau;
- Menjadikan budaya merokok budaya yang tidak boleh diterima masyarakat;
- Sifar pendedahan mengenai penggunaan tembakau kepada kanak-kanak
Dalam memastikan pelaksanaan Generasi Penamat ini berjaya, MBM bersedia untuk membantu dan menjadi rakan strategik kepada KKM dalam menjalankan aktiviti advokasi dan pencegahan terutama melibatkan belia melalui program Generational End Game Anti Rokok (GEGAR-18).
MBM akan memberikan komitmen sewajarnya bagi memastikan aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dan memberikan impak yang dikehendaki dalam memastikan belia yang sihat, unggul dan berketrampilan.
Diharapkan usaha-usaha yang akan dijalankan akan dapat mengatasi masalah merokok di kalangan belia-belia di Malaysia.
Diharapkan usaha-usaha yang akan dilaksanakan ini akan membawa kepada persekitaran di Malaysia yang positif dan harmoni seterusnya mewujudkan satu ekosistem yang kondusif membantu perkembangan belia di Malaysia.
HASNUL HANIFF HARUN
Setiausaha Agung
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 31 Mei 2022