MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM sokong hak bersuara, tekankan tanggungjawab semua pihak tangani rasuah

Majlis Belia Malaysia (MBM) menghargai arahan YAB Perdana Menteri agar tiada tindakan dikenakan terhadap mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terlibat dalam demonstrasi Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini. Keterbukaan YAB Perdana Menteri ini mencerminkan nilai Ihsan seperti yang terkandung dalam gagasan Malaysia Madani yang diangkat oleh Kerajaan ketika ini.

Sehubungan itu, tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tiga orang mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi berkenaan di bawah Akta Hasutan 1948 tidak selari dengan arahan YAB Perdana Menteri agar tiada tindakan atau hukuman dikenakan ke atas mahasiswa terlibat.

MBM sentiasa konsisten dalam mengangkat prinsip Kesopanan dan Kesusilaan seperti yang terkandung dalam Rukun Negara sebagai asas pembangunan belia Malaysia. Tindakan membakar gambar mana-mana pemimpin negara merupakan perbuatan yang bercanggah dengan prinsip tersebut dan boleh dianggap sebagai tindakan yang melampaui batas.

Namun demikian, di sebalik tindakan tidak wajar oleh segelintir mahasiswa yang membakar gambar YAB Perdana Menteri, isu utama yang diperjuangkan oleh mereka tidak wajar diketepikan. MBM menghargai aspirasi mahasiswa yang menyuarakan penolakan terhadap rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan tadbir urus melalui perhimpunan aman yang diadakan di Sabah.

Tindakan ini mencerminkan keprihatinan tinggi golongan muda terhadap isu integriti dan kebertanggungjawaban dalam tadbir urus negara, selaras dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan nilai ketelusan, akauntabiliti dan suara rakyat.

Justeru, MBM menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar bertindak lebih tegas, jujur dan telus dalam menyiasat kes-kes rasuah berprofil tinggi serta memastikan tindakan diambil secara adil dan tanpa pilih kasih.

Ketegasan yang konsisten amat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya generasi muda terhadap institusi keadilan dan integriti negara.

Malaysia masih berdepan cabaran serius dalam usaha memerangi rasuah. Menurut Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index – CPI) 2024 oleh Transparency International, Malaysia kekal dengan skor 50/100 dan berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

Ini merupakan indikasi jelas bahawa perjuangan menentang rasuah memerlukan pendekatan menyeluruh atau “Whole-of-Nation Approach” yang melibatkan pelbagai pihak.

Sebagai badan induk belia negara, MBM komited untuk menyediakan ruang dialog terbuka serta menjadi jambatan antara mahasiswa dan agensi-agensi berkaitan.

MBM juga bersedia menggalakkan penyertaan aktif mahasiswa melalui sesi libat urus bersama SPRM serta menyokong inisiatif penggubalan dasar yang lebih konstruktif, berstruktur dan inklusif dalam usaha membanteras rasuah.

MBM percaya bahawa perjuangan melawan rasuah mesti digerakkan oleh semua lapisan masyarakat dengan menjunjung prinsip hikmah, keberanian dan tanggungjawab bersama, demi masa depan Malaysia yang bersih, telus dan berintegriti.

“Demi Kebenaran dan Keadilan”

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 25 Jun 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »