MELAKA | 28–30 November 2025 – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah turut serta dalam Kembara Jumpa Orang Muda 2.0: Zon Selatan merupakan inisiatif anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menghimpunkan belia dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bersama komuniti setempat.
Program yang berlangsung selama tiga hari di Bukit Katil, Melaka ini bertujuan memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan serta penglibatan belia dalam masyarakat melalui pendekatan santai, mesra komuniti dan berimpak sosial. Pendekatan ini bukan sahaja mendedahkan belia kepada realiti kehidupan setempat, malah menggalakkan nilai empati, budaya khidmat masyarakat serta semangat perpaduan dalam kalangan peserta.
Sepanjang penganjuran, para peserta terlibat dalam pelbagai pengisian utama seperti aktiviti bersama keluarga angkat sebagai platform untuk memahami budaya setempat dan mengukuhkan jaringan komuniti, program Ziarah Kasih yang menyantuni warga memerlukan, Jualan RAHMAH bagi menyediakan barangan keperluan pada harga mampu milik.
Turut diadakan sesi santai Healing Time bersama Yang Berhormat Timbalan Menteri, YB Adam Adli sebagai perkongsian inspirasi anak muda, serta Kenduri Rakyat yang menjadi simbol penyatuan masyarakat dan belia setempat.
MBM dihadiri oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj. Abdul Hamid, Presiden, serta Sdr. Syafiq Rizdwan Jamaludin, Ketua Penerangan. Hadir sama kumpulan Eon yang merupakan rakan kolaborasi MBM.
Kembara Jumpa Orang Muda 2.0: Zon Selatan menjadi platform yang efektif dalam merapatkan hubungan antara belia dan komuniti, selain melahirkan generasi muda yang lebih peka, berdaya saing dan bersedia memimpin masa hadapan.











