MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM sambut baik penyelesaian harmoni isu rumah ibadat

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik langkah bijaksana dan berhemah yang diambil oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu berkaitan pembinaan Masjid Madani dan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Penyelesaian secara damai ini bukan sahaja mencerminkan kepimpinan yang matang dan inklusif, malah mengingatkan kita kepada peranan penting Perdana Menteri dalam menangani insiden serupa di Kampung Rawa, Pulau Pinang pada tahun 1998 – lebih dua dekad yang lalu yang juga diselesaikan dengan pendekatan harmoni dan penuh hikmah.

MBM percaya bahawa Malaysia yang majmuk memerlukan ruang dialog dan persefahaman yang berterusan demi menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

Justeru, MBM menyeru semua pihak untuk menghentikan polemik yang boleh mengeruhkan hubungan antara komuniti serta mengajak masyarakat untuk terus memelihara semangat saling menghormati berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

MBM berpandangan bahawa sudah sampai masanya kerajaan segera mengguna pakai Piagam Harmoni yang sedang diusahakan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sebagai kerangka panduan untuk mengurus kepelbagaian secara menyeluruh di samping menyediakan langkah-langkah pencegahan yang proaktif.

Sejajar dengan aspirasi membina negara bangsa yang inklusif dan bersatu, MBM melalui Jawatankuasa Harmoni akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, demi merealisasikan visi Malaysia Madani yang aman, sejahtera dan harmoni.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 27 Mac 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »