MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM sambut baik langkah naikkan gaji minimum RM1,700

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama berhubung kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, kenaikan gaji minimum yang menjadi salah satu teras penting dalam Belanjawan kali ini, akan memberi impak besar kepada lebih sejuta pekerja muda di Malaysia.

Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

“Golongan belia, khususnya akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini dalam menghadapi cabaran kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas Belanjawan 2025 yang bentangkan Anwar yang juga Mentei Kewangan bertemakan “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” di Parlimen semalam.

Mohd Izzat Afifi berkata, belanjawan kali ini juga dengan jelas menunjukkan tumpuan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan belia sebagai elemen utama dalam kemajuan negara.

Selain itu, katanya, MBM turut mendokong penuh beberapa inisiatif utama yang disasarkan kepada golongan belia seperti Program Anak Kita yang menerima peruntukan RM30 juta yang merupakan usaha menyeluruh untuk menangani isu keciciran 80,000 anak-anak di Malaysia.

“Sokongan tambahan oleh Yayasan Hasanah yang memfokuskan kepada minat anak-anak dalam bidang TVET juga sangat penting bagi memastikan generasi muda kita mendapat kemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran kerja masa kini.

“Inisiatif ini akan membantu membina masa depan yang lebih baik dan berdaya saing untuk generasi akan datang,” katanya.

Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) dengan peruntukan RM50 juta pula, kata beliau, adalah satu langkah penting dalam memperkukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan di kalangan belia.

Dalam pada itu, Mohd Izzat Afifi berkata, pengenalan Skim Step Up Financing dengan jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan.

“Skim ini menawarkan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama, yang pastinya dapat meringankan beban kewangan golongan muda dan membantu mereka memiliki aset penting seperti rumah,”katanya.

MBM turut menyokong inisiatif Geran Padanan RM10 juta oleh TalentCorp di bawah Program LiKES yang membolehkan syarikat melatih mahasiswa dalam bidang STEM.

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan peruntukan RM20 juta pula akan terus menggalakkan generasi muda menceburi bidang keusahawanan yang bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan ekonomi negara melalui pembinaan perniagaan baharu. – Edisi 9

Artikel penuh :

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »