MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Sambut Baik Kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penuh kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025. Pindaan ini melibatkan perubahan penting terhadap Akta Pendidikan 1996 dengan memperluas takrif “pendidikan wajib” agar merangkumi bukan sahaja pendidikan rendah, tetapi turut meliputi pendidikan menengah.

Melalui pindaan ini, ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak warganegara Malaysia dan menetap di dalam negara diwajibkan untuk mendaftarkan anak mereka di institusi pendidikan menengah yang diiktiraf dan memastikan kehadiran anak-anak mereka sepanjang tempoh persekolahan tersebut.

MBM melihat langkah ini sebagai satu reformasi pendidikan yang progresif dan strategik, khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan melalui peningkatan akses kepada pendidikan, memperkasa pembangunan insan negara serta melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing dan seimbang dari segi intelektual, emosi dan sosial.

Pindaan ini juga merupakan antara perkara yang telah diperjuangkan oleh MBM melalui saluran Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN), yang membuktikan bahawa suara dan aspirasi belia Malaysia didengari serta diambil serius dalam proses penggubalan dasar awam dan pendidikan negara.

MBM turut berharap agar pindaan ini akan diluluskan di Dewan Negara dalam masa terdekat dan disusuli dengan pelaksanaan yang menyeluruh, adil dan inklusif tanpa mengabaikan golongan rentan seperti pelajar luar bandar serta keluarga berpendapatan rendah.

MBM komited untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu pembaharuan sistem pendidikan negara demi membina masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.

AHMAD FARHAN ROSLI

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 31 Julai 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »