MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Sambut Baik Cadangan PMX, Siap Sedia Menggerakkan Inisiatif ‘Geng Belia Rakan Masjid’ Di Seluruh Negara

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyambut baik cadangan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar setiap masjid mewujudkan jawatankuasa khas orang muda bagi memberi ruang kepada belia merancang dan melaksanakan program kemasyarakatan serta keagamaan, sekali gus memastikan masjid terus diimarahkan dan berperanan sebagai pusat pembangunan ummah.

MBM berpandangan, inisiatif ini sangat signifikan bukan sahaja untuk mendekatkan belia dengan institusi masjid namun dalam masa yang sama memperkasa dan membangunkan karakter warga belia bukan sekadar sebagai jemaah, tetapi sebagai rakan penggerak yang menyumbang tenaga, idea, kepimpinan dan khidmat kepada komuniti setempat secara bermakna.

MBM juga mengambil maklum bahawa JPM (Hal Ehwal Agama) turut memaklumkan cadangan ini akan diteliti bersama pihak berkaitan sebagai usaha memperkukuh peranan belia. Pada masa yang sama, KBS juga menyatakan kesediaan menggerakkan platform Rakan Muda sebagai mekanisme memperkasa perancangan jawatankuasa orang muda di masjid.

Sehubungan itu, MBM menyatakan kesiapsiagaan penuh untuk menggerakkan keseluruhan ekosistem belia termasuk 117 Majlis Belia Daerah, 14 Majlis Belia Negeri dan persatuan-persatuan belia akar umbi untuk berkerjasama denga agensi serta Kerajaan MADANI, khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan secara tersusun, inklusif dan berimpak tinggi.

Bagi memastikan inisiatif ini tidak sekadar pengumuman, MBM mencadangkan beberapa asas pelaksanaan di peringkat kariah:

1. Terma rujukan (TOR) jelas untuk jawatankuasa orang muda, supaya peranan belia bukan simbolik, tetapi ada mandat program dan peruntukan tugasan.

2. Latihan kepimpinan belia masjid berbimbing (mentoring & coaching) di peringkat daerah dan kariah bagi memastikan kesinambungan, disiplin tadbir urus dan kualiti program.

3. Pakej program berteras 4 bidang: kerohanian & ilmu, kesukarelawanan & kebajikan, kepimpinan belia, serta pengukuhan komuniti (termasuk literasi digital dan pencegahan sosial).

 4. Pendekatan inklusif belia setempat (termasuk belia yang tidak berpersatuan), dengan budaya masjid yang mesra, beradab dan menyantuni realiti anak muda.

MBM percaya penglibatan aktif belia dalam institusi masjid bukan sahaja mampu melahirkan generasi yang berakhlak, berdaya kepimpinan dan bertanggungjawab, malah mengembalikan masjid sebagai nadi penyatuan ummah dan komuniti, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kebersamaan, kesejahteraan dan perpaduan nasional.

Belia Bertindak demi Keadilan dan Kebenaran

Menggerak Belia!

SYAFIQ RIDZWAN JAMALUDDIN

Ketua Penerangan

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Tarikh : 28 Januari 2026

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »