Kuala Lumpur | 6 September 2025 – Majlis Belia Malaysia (MBM) meneruskan usaha mendekati belia akar umbi melalui program MBM Reach Out Community yang berlangsung di Anggun Lumayan, Bandar Tun Razak, bersempena dengan Majlis Perasmian Surau Anggun.
Program ini menampilkan pelbagai pengisian menarik yang mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat, antaranya khidmat potong rambut percuma, pameran MBM, khidmat bantuan guaman, pemeriksaan kesihatan, serta perkhidmatan perbankan oleh Bank Rakyat dan Bank Tabung Haji. Usaha ini bertujuan mempromosikan serta memperkenalkan MBM kepada komuniti berdekatan dengan Ibu Pejabat MBM di kawasan tersebut.
Program ini turut menerima suntikan sokongan apabila disempurnakan oleh YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang menzahirkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan belia di peringkat komuniti. Beliau menekankan kepentingan menjadikan masjid dan surau sebagai pusat pembangunan insan belia yang lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada aktiviti jemaah semata-mata.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Azman bin Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, YBrs. Tuan Haji Hanifuddin Roslan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), serta Puan Asyqoh binti Yusof, Pengurus Kawasan DBKL Bandar Tun Razak.
MBM turut diwakili oleh Saudari Nuriffah Atiqah Ismail, Exco MBM serta Saudari Siti Nor Hasyyati Abd Rahman, Naib Presiden MBM.
Penganjuran MBM Reach Out Community ini sekali lagi membuktikan peranan MBM sebagai jambatan penghubung belia dan masyarakat, seiring dengan agenda memperkasakan belia di bandar melalui pendekatan mesra komuniti.


