MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM pula tolak Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia

SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) menjadi badan bukan kerajaan terbaru yang mendesak kerajaan Malaysia agar menolak pelantikan tokoh konservatif Amerika Syarikat (AS), Nick Adams sebagai Duta Besar negara itu ke Malaysia.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap pencalonan tersebut kerana di sebalik kontroversi yang menyelubungi pesona awamnya, Adams secara konsisten menyebarkan retorik provokatif dan memecah belah.

Menurutnya, ia secara tidak langsung memburukkan seruan antarabangsa untuk keadilan, menolak advokasi hak asasi manusia dan menyamakan ungkapan solidariti yang sah dengan ekstremisme.

“Adams juga telah membuat kenyataan awam secara meluas, dianggap sebagai anti-Palestin dan secara terbuka menyokong tindakan pencerobohan yang disifatkan oleh banyak masyarakat antarabangsa sebagai jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai.

“Pandangan sedemikian bukan sahaja tidak dapat dipertahankan secara moral tetapi juga berisiko menormalkan keganasan terhadap orang awam dan menjejaskan prinsip keadilan, keamanan dan kemanusiaan yang dikongsi bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohd Izzat Afifi, pandangan Adams bukan sahaja tidak serasi dengan sokongan berprinsip Malaysia untuk keadilan antarabangsa, hak asasi manusia dan perlindungan negara berdaulat, tetapi juga berisiko menjejaskan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Retorik sedemikian katanya, jika dibenarkan membentuk penglibatan diplomatik akan mengancam kepercayaan bersama dan muhibah awam, yang kedua-duanya penting untuk kerjasama antarabangsa dan perpaduan nasional.

“Dasar luar Malaysia sentiasa berdiri teguh dalam mempertahankan maruah manusia, kedaulatan undang-undang dan multilateral.

“Kenyataan Adams, termasuk yang mempersendakan atau memutarbelitkan prinsip-prinsip ini, tidak selari dengan nilai yang kita pegang dan tidak sesuai untuk menjadi utusan rasmi ke negara kita.

“Oleh itu, MBM menyeru Kerajaan untuk menolak pencalonan ini. Selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna mengenai hubungan diplomatik, Malaysia mempunyai hak kedaulatan untuk menolak sebarang pelantikan duta tanpa bertanggungjawab untuk memberikan justifikasi,” jelasnya.

Tegas beliau, ia bukan soal ideologi tetapi satu langkah yang perlu untuk menegakkan integriti moral dan diplomatik Malaysia.

Selain itu, ia bagi memastikan hubungan negara dengan Amerika Syarikat tidak terjejas oleh pelantikan yang tidak mempunyai sensitiviti diplomatik yang diperlukan dan menghormati nilai Malaysia.

Artikel penuh :

https://www.sinarharian.com.my/article/738731/berita/nasional/mbm-pula-tolak-nick-adams-sebagai-duta-as-ke-malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »