Kuala Lumpur, 8 Mac 2013 – Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil perhatian serius terhadap isu pencerobohan di Lahad Datu Sabah yang mana telah menaikkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia di samping kekejaman yang telah dilakukan oleh pihak penceroboh terhadap pasukan keselamatan Malaysia. Sehubungan itu, MBM sebagai badan induk pertubuhan belia negara ini bersama badan gabungannya telah mengambil inisiatif menggerakkan satu Kempen Perpaduan: Daulat Negara sebagai tanda sokongan dan memberi kata-kata semangat kepada para pejuang negara yang bertungkus lumus dan sangup menggadaikan nyawa mereka dalam mempertahankan tanah air kita dari penceroboh. Kempen ini yang diadakan bersama dengan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) telah diadakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur yang bermula pada pukul 5 petang. Antara yang hadir adalah Pengerusi Tetap MBM iaitu Saudara El Syazalli, Saudara Maliki (Presiden MBM), Muammar Ghaddafi (Timbalan Presiden MBM), Hamizi (Presiden MBWP) dan beberapa orang exco MBM seperti Saudara Hasnul Hanif, Saudara Rizan Hassan, serta beberapa wakil pertubuhan belia seprti MYHA, Persatuan Belia 4B dan lain-lain.
Antara pengisian kempen ialah Solat dan bacaan doa, kutipan derma untuk waris para pejuang yang telah terkorban, pengedaran poster, pengedaran buah epal merah dan reben biru.
Lebih kurang tiga ribu orang yang berada di stesen telah diberikan poster kempen Perpaduan Daulat Negara, sebiji epal merah sebagai tanda keberanian dan sokongan kepada perwira yang mempertahankan negara dan reben biru sebagai lambang perpaduan seluruh rakyat Malaysia menyokong kedaulatan negara. Kempen ini dimeriahkan lagi dengan nyanyian rasmi para pejuang iaitu “Inilah Barisan Kita”.