PUTRAJAYA 8 Jan – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan kunjungan hormat ke Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri di Ibu Pejabat AKM sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik antara gerakan belia nasional dan institusi latihan kenegaraan negara.
Kunjung hormat ini telah disambut Dato’ Dr. Roslan Hussin, Ketua Pengarah AKM bersama barisan pengurusan tertinggi AKM termasuk Datin Saliza Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Encik Khalid Mohamad Yosoff, Pengarah Bahagian Belia serta wakil-wakil daripada Bahagian Korporat, Kepimpinan Strategik dan Dasar serta Perancangan Strategik.
Delegasi MBM diketuai Sdr. Ahmad Farhan Rosli, Setiausaha Agung MBM bersama Sdr. Hasnul Haniff Harun, Naib Presiden MBM, Sdr. Syahmi Shamsudin dan Sdr. Anwar Azmi.
Pertemuan ini menjadi platform perbincangan konstruktif bagi meneroka potensi kerjasama strategik, khususnya dalam memperkasa pembangunan belia melalui pengukuhan kepimpinan, nilai kenegaraan serta pembentukan jati diri generasi muda.
Secara keseluruhan, MBM melihat kolaborasi bersama AKM sebagai satu langkah signifikan dalam menyokong agenda pembangunan negara dan aspirasi Malaysia MADANI, selaras dengan usaha melahirkan pemimpin belia yang berwibawa, berprinsip dan berteraskan semangat Rukun Negara.







