KUALA LUMPUR 3 April – Dalam usaha memperkukuh jaringan dan menyuburkan semangat kebersamaan dalam gerakan belia, Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan sesi santuni ke Pejabat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Kunjungan MBM diketuai Setiausaha Agungnya, Sdr. Ahmad Farhan Rosli bersama Sdr. Syahmi Shamsudin, Penolong Setiausaha Agung II disambut oleh Setiausaha Agung GPMS, Sdr. Wafiy Musa.
Sesi kunjungan ini bukan sekadar lawatan biasa tetapi suatu ikhtiar untuk meninjau denyut nadi organisasi, memahami keadaan semasa, serta bertukar pandangan berkenaan gerak kerja yang sedang digerakkan.
Semasa sesi kunjungan ini juga, turut diangkat dan diimbau kembali akar sejarah GPMS sebagai sebuah gerakan pelajar yang lahir daripada kesedaran ilmu dan tanggungjawab bangsa yang hingga kini terus relevan dalam membentuk watak generasi muda.
Pertemuan ini mencerminkan bahawa kekuatan gerakan belia tidak hanya terletak pada struktur tetapi pada keupayaan untuk terus berhubung, mendengar dan membina kepercayaan antara satu sama lain.
Sesi diakhiri dengan penyerahan cenderamata sebagai simbol penghargaan dan iltizam untuk meneruskan kerjasama yang lebih bagi bersama-sama #MenggerakBelia



