ISTANBUL 29 Sep – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan pertemuan rasmi bersama Islamic Cooperation Youth Forum (ICYF) di ibu pejabat ICYF, Istanbul, bagi memperkukuh kerjasama strategik dan diplomasi belia Islam di peringkat antarabangsa.
Pertemuan ini menjadi platform penting untuk memperluas rangka kerjasama dua hala dalam memperkasa kepimpinan belia Islam, memperkukuh solidariti antara negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), serta merancang pelaksanaan program bersama yang berimpak tinggi dalam masa terdekat.
Kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen bersama terhadap perjuangan Palestin, dengan memberikan penekanan terhadap keselamatan dan kebajikan peserta misi kemanusiaan Sumud Flotilla yang sedang berjuang menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza.
MBM dan ICYF sependapat bahawa usaha para aktivis dan sukarelawan antarabangsa ini mencerminkan semangat keberanian, keteguhan (sumud) dan nilai kemanusiaan sejagat yang perlu terus disokong oleh komuniti belia Islam di seluruh dunia.
Dalam perbincangan itu juga, kedua-dua pihak menekankan kepentingan memperkukuh suara belia Islam dalam menyuarakan keadilan dan keamanan buat Palestin, melalui pendekatan diplomasi, advokasi, dan solidariti kemanusiaan yang berterusan.
Delegasi MBM diketuai oleh Saudara Ahmad Farhan Rosli (Setiausaha Agung), bersama Saudara Mohd Izham Ahmad (Bendahari Kehormat), Saudara Abu Kadir (Penolong Setiausaha Agung), Saudara Mohd Najib Abd Rashid (Ketua Sekretariat), serta Saudara Muhammad Syahmi Shamsudin (Pegawai Khas kepada Presiden MBM).
ICYF pula diwakili oleh Mr. Rasul Omarov, Director General ICYF, dan Mr. Sinan, Chief Finance Officer.
Kedua-dua organisasi turut sepakat untuk memperhebat pelaksanaan program pembangunan belia Islam, inovasi sosial dan solidariti kemanusiaan rentas negara, termasuk memperkukuh agenda advokasi belia Islam terhadap isu Palestin di peringkat global.
Pertemuan ini mencerminkan tekad MBM untuk terus memperkukuh diplomasi belia Islam yang berpaksikan nilai kemanusiaan, keadilan, dan perpaduan sejagat seiring aspirasi Malaysia MADANI dan semangat Belia Untuk Dunia Lebih Baik.



