Kuala Pilah | 27 Mac 2025 – Majlis Ihya Ramadan anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Malaysian Youth Hostel Association (MYHA) telah berlangsung dengan jayanya di Rumah Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan.
Hadir dalam program tersebut Exco MBM merangkap Presiden MYHA, Mohd Faiz bin Mohd Zin.
Program bermula dengan edaran 100 kit berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di beberapa lokasi strategik sekitar Kuala Pilah. Antara lokasi yang menerima sumbangan termasuk Hospital Tunku Ampuan Najihah Kuala Pilah, Balai Polis Kuala Pilah, Balai Bomba Kuala Pilah, dan Angkatan Pertahanan Awam Kuala Pilah. Aktiviti ini bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan petugas yang berkhidmat demi masyarakat sepanjang Ramadan.
Selepas itu, barisan sukarelawan bergerak ke Rumah Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan untuk bersama-sama penghuni rumah tersebut dalam Majlis Berbuka Puasa.
Dalam sesi juga, telah diadakan sesi bicara mengenai peluang pendidikan yang disampaikan oleh Naib Presiden MYHA yang juga merupakan pensyarah di Politeknik Port Dickson. Sesi ini bertujuan memberi pendedahan kepada penghuni rumah mengenai peluang melanjutkan pelajaran serta masa depan mereka dalam bidang akademik dan kemahiran.
Turut disampaikan sumbangan dan duit raya kepada penghuni Rumah Yayasan Kasih Sayang Negeri Sembilan sebagai tanda prihatin dan kasih sayang kepada golongan yang memerlukan. Inisiatif ini diharapkan dapat menceriakan mereka menjelang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.


