Kuala Lumpur | 16 Disember – Majlis Belia Malaysia (MBM) diketuai Presidennya, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid bersama Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP), Sdr. Khairul Rizam Abu Samah telah mengadakan perbincangan rasmi dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YB Chang Lih Kang , di Parlimen Malaysia hari ini.
Perbincangan ini bertujuan membincangkan pelaksanaan ASEAN Future Youth Forum 2025, yang dirangka untuk menjadi platform strategik dalam merancakkan penglibatan belia ASEAN dalam isu-isu pembangunan mampan, inovasi, dan teknologi.
Selain itu, kerjasama dalam program-program belia yang berfokus kepada Sains, Teknologi, Inovasi, dan Ekonomi (STIE), selaras dengan pengkhususan MOSTI, turut dibincangkan. Program-program ini bertujuan untuk memupuk bakat belia dalam bidang STIE sebagai pemacu utama pembangunan negara dan rantau ASEAN.
MBM merakamkan penghargaan kepada YB Chang Lih Kang atas komitmen dan sokongan MOSTI dalam menjayakan inisiatif-inisiatif ini. Kerjasama ini diyakini mampu membawa impak positif kepada pembangunan belia, selaras dengan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Turut hadir dalam perbincangan ini ialah Dr. Syafiqah, penyelidik di MBM, yang memberikan pandangan dan cadangan bernas berhubung pelaksanaan program-program ini, serta Sdri. Hasinah dan Sdr. Muhammad Syahmi Shamsudin mewakili Sekretariat MBM.