MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM mantapkan halatuju 2026 menerusi Retreat PEKA

YOGYAKARTA 2 Feb – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menganjurkan Retreat Pengurusan Kanan MBM (PEKA) 2026 yang berlangsung di Ibis Styles Yogyakarta, Indonesia, sebagai platform strategik untuk menilai pencapaian tahun 2025 serta memperkukuh perancangan dan hala tuju organisasi bagi tahun 2026.

Retreat ini menghimpunkan barisan Exco Kanan MBM yang diketuai oleh Presiden MBM, bersama Sekretariat MBM dengan fokus utama memperkemaskan tadbir urus, menyelaras gerak kerja serta memastikan MBM kekal relevan dan berdaya saing dalam landskap belia semasa.

Amanat Presiden: MBM Perlu Lebih Dikenali dan Bergerak Sebagai Satu Pasukan

Dalam amanatnya, Presiden MBM menegaskan keperluan kepimpinan dan pengurusan untuk menilai kembali keberadaan dan keterlihatan MBM, memandangkan masih terdapat golongan belia yang belum mengenali peranan dan fungsi organisasi tersebut.

Beliau turut menggesa agar segala isu tertangguh tahun 2025, termasuk aspek pelaporan dan pengurusan program diselesaikan dengan segera dan berhemah. Selain itu, Presiden menekankan kepentingan persiapan awal bagi fasa transisi organisasi, termasuk penyediaan pelan pelapis (succession plan) melibatkan kepimpinan bawah 30 tahun.

Presiden turut mengingatkan seluruh Ahli Jawatankuasa Kerja agar bergerak secara berpasukan, memainkan peranan masing-masing dengan berkesan serta bersedia dipantau bagi memastikan setiap jawatankuasa melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Hasrat beliau adalah untuk meninggalkan MBM dalam keadaan yang baik, tersusun dan mampan.

Pembentangan Hala Tuju dan Penyelarasan Gerak Kerja 2026

Retreat ini turut diisi dengan pembentangan oleh Setiausaha Agung MBM yang merangkumi hala tuju dan takwim MBM bagi tahun 2026, di samping sesi penyelarasan gerak kerja antara Exco dan Sekretariat. Penekanan turut diberikan kepada kepentingan pelaporan program yang berimpak, selari dengan aspirasi MBM untuk memperkukuh kredibiliti dan kepercayaan pemegang taruh.

Strategi Media MBM Dekati Generasi Z

Sesi pembentangan oleh Unit Penerangan, Penerbitan dan Media MBM menjadi antara pengisian penting retreat ini. Ketua Penerangan MBM membentangkan pencapaian unit media sepanjang tahun 2025, diikuti pembentangan oleh Penolong Ketua Penerangan MBM yang memfokuskan kepada hala tuju dan strategi media MBM bagi tahun mendatang.

Perbincangan turut menyentuh cabaran mendekati Generasi Z, termasuk perubahan corak konsumsi media dan keperluan menyesuaikan kandungan serta platform digital MBM agar lebih segar, inklusif dan berimpak. Sesi ini disusuli dengan perbincangan terbuka, soal jawab serta pertukaran idea dalam kalangan peserta retreat.

Pembentangan Hari Belia Negara 2026

Selain itu, retreat ini turut menampilkan pembentangan berhubung perancangan awal pelaksanaan Hari Belia Negara 2026 yang disampaikan oleh Timbalan Presiden MBM. Pembentangan ini bertujuan untuk memberikan makluman awal kepada pengurusan kanan MBM, di samping mendapatkan pandangan serta input berkaitan cadangan tarikh dan lokasi pelaksanaan program berprestij tersebut.

Komitmen MBM ke Arah Organisasi Belia Yang Lebih Dinamik

Secara keseluruhan, Retreat Pengurusan Kanan MBM 2026 ini mencerminkan komitmen serius MBM dalam memperkukuh pengurusan organisasi, meningkatkan keberkesanan gerak kerja serta memastikan suara dan peranan belia terus diperkasakan di peringkat nasional.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »