MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM lancar Jawatankuasa Harmoni, penggerak semangat perpaduan dan Keharmonian antara kaum dan agama dalam kalangan belia

KUALA LUMPUR 22 Mac – Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melancarkan Jawatankuasa Harmoni MBM sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini menerusi gerak kerja bersama kerajaan.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata jawatankuasa itu akan menjadi platform bagi wakil-wakil belia daripada pelbagai etnik dan agama untuk berperanan sebagai platform mediator dan medan perbincangan selamat berkaitan isu sensitif berkaitan perpaduan dan integrasi nasional

“Menerusi jawatankuasa ini, kita akan gerakkan program perpaduan dan keharmonian di seluruh Malaysia, melibatkan badan-badan gabungan MBM khususnya yang berasaskan etnik, agama dan kaum,” katanya.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sempena Majlis Berbuka Puasa Perpaduan Belia Malaysia anjuran MBM dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Pusat Belia Antarabangsa Cheras di sini.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim; Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dato’ Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Puan Azura Abidin bersama 250 tetamu terdiri daripada pemimpin belia, pemimpin agama, mantan kepimpinan belia, mahasiswa dan rakan strategik MBM.

Majlis menghimpunkan belia dari pelbagai latar belakang ini bukan sekadar iftar, tetapi simbol kebersamaan belia dalam semangat Malaysia Madani.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »