MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM : Kembali ke Meja Rundingan MPBN. Laksana Had Umur Berperingkat. Perkukuhkan Belia

Majlis Belia Malaysia (MBM) ingin mengambil peluang untuk menjelaskan kemelut cadangan pelaksanaan had umur belia ditetapkan kepada bawah 30 tahun berkuat kuasa 1 Januari 2026. Walaupun ianya sudah dinyatakan dengan jelas oleh Presiden MBM sewaktu ucapan dasar dan penggulungan dalam Sidang Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang 1 Penggal ke-35 sesi 2025-2026 Julai lalu, namun kemelut konflik ini seakan tidak bertemu pada jalur yang sama.

Dalam hal ini, MBM ingin menegaskan bahawa pendirian menolak pelaksanaan tersebut TIDAK sama sekali bertujuan menafikan hak mahupun menutup peluang kepada belia-belia muda, malah kami sentiasa membuka ruang dan peluang kepada semua belia melalui pelaksanaan program-program MBM di pelbagai peringkat. Sebaliknya, ia berakar pada prinsip keterangkuman, keadilan peluang dan pembangunan belia yang seimbang tanpa ada kelompok yang tertinggal.

Pendirian ini lahir daripada keprihatinan mendalam MBM terhadap potensi cabaran dan implikasi negatif yang mungkin dihadapi kesan daripada ketidaksediaan ekosistem pembangunan belia sekiranya had umur ini dilaksanakan secara tergesa-gesa. MBM dan seluruh badan gabungannya komited teguh dalam usaha mempersiapkan generasi belia bawah 30 tahun untuk menerajui kepimpinan, namun dengan syarat bahawa sistem sokongan, latihan dan peralihan kuasa dilakukan secara terancang dan tersusun.

Hakikat yang perlu kita akui bersama adalah bahawa ekosistem pembangunan belia yang inklusif dan berstruktur masih belum sepenuhnya wujud, khususnya bagi belia awal (umur 15 hingga 24 tahun). Ketiadaan asas yang kukuh ini menimbulkan kebimbangan bahawa pelaksanaan dasar umur baharu akan mengakibatkan kehilangan bakat, kerencatan kesinambungan kepimpinan dan gangguan kepada struktur organisasi belia yang telah lama berkhidmat di akar umbi.

MBM menggesa agar pihak berkepentingan, khususnya kerajaan dan agensi berkaitan melibatkan suara belia dari pelbagai peringkat dalam sebarang proses semakan atau pelaksanaan dasar umur belia. Setiap perubahan dasar perlu berpaksikan data, realiti komuniti dan jaminan terhadap prinsip “No Youth Left Behind”.

Justeru, antara cadangan yang pihak MBM pernah sampaikan dalam beberapa pertemuan bersama pelbagai pemegang taruh malah YB Menteri Belia dan Sukan sendiri adalah pelaksanaan berperingkat 35 tahun melalui Kuasa Am Menteri (Seksyen 123) sejajar dengan  rayuan majoriti pertubuhan belia, bahkan umur 35 ada umur universal yang dipersetejui oleh negara-negara ASEAN untuk digunakan dalam dokumen Indeks Belia ASEAN.

MBM akan terus memberi komitmen memperjuangkan suara, peluang dan potensi semua golongan belia muda atau berpengalaman demi menjamin pembangunan belia Malaysia yang inklusif, progresif dan mampan.

Menggerak Belia!

MOHAMAD SYAFIQ RIDZWAN JAMALUDDIN

Ketua Penerangan

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 6 Ogos 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »