PUTRAJAYA 8 April – Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Dato’ Rahimi Ismail di Menara KBS. ini merupakan sesi ‘engagement’ pertama sejak pelantikan beliau sebagai KSU KBS, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara kedua-dua pihak.
Pertemuan tersebut menekankan kepentingan mengekalkan sinergi kukuh antara KBS dan MBM sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan belia negara. Kedua-dua pihak sepakat bahawa belia merupakan aset penting negara yang perlu diperkasa dalam usaha membina negara bangsa yang berteraskan semangat, idealisme dan keupayaan generasi muda.
Dalam perbincangan, turut ditekankan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan progresif tanpa mengabaikan kesejahteraan belia. “Negara maju tapi belia bermasalah, itu yang kita tidak mahukan,” menjadi antara penegasan penting dalam memastikan pembangunan negara bergerak seiring dengan pembangunan sahsiah dan kualiti belia.
Sementara itu, Presiden MBM, Sdr. Izzat Afifi menegaskan bahawa hubungan MBM-KBS perlu terus diperkukuh melalui pendekatan strategik yang bersepadu. Beliau berharap agar tiada lagi pendekatan bergerak secara berasingan, sebaliknya wujud kesinambungan program dan agenda bersama demi memastikan impak pembangunan belia yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Puan Chan Hong Jin; Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Puan Azura Abidin, Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Encik Hasnata Hasan; Pengerusi Tetap MBM, Sdr. Naim Al Amin; Timbalan Presiden MBM, Azman Azeez; Naib Presiden MBM, Sdri. Jessy Ng dan Setiausaha Agung MBM, Sdr. Farhan Rosli.










