CHERAS 5 Mac – Program Ihya’ Ramadan dan Majlis Iftar Madani Cheras berlangsung dengan penuh kemeriahan di Masjid As-Sodiqin, Cheras hari ini dengan kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Program yang menghimpunkan masyarakat setempat, agensi kerajaan, pertubuhan belia serta badan bukan kerajaan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih Prihatin Madani bersama Masjid As-Sodiqin Cheras dengan sokongan rakan strategik termasuk Majlis Belia Malaysia (MBM) dan pelbagai agensi lain bagi menyemarakkan penghayatan Ramadan dalam kalangan masyarakat. IHYA RAMADAN
Sepanjang hari, pelbagai pengisian bermanfaat diadakan bermula dengan Kuliah Dhuha Muslimat, aktiviti rewang memasak bubur lambuk, tazkirah serta program komuniti seperti Jualan Rahmah Madani, reruai pameran agensi, pemeriksaan kesihatan, kaunter zakat, pameran Al-Quran serta gunting rambut percuma yang memberi manfaat kepada orang ramai.
Program ini turut memberi fokus kepada penglibatan generasi muda menerusi Slot Belia Masjid yang menampilkan perkongsian inspirasi dan tausiah bagi menggalakkan belia terus mendekati institusi masjid serta mengimarahkan Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat.
Kemuncak program adalah Majlis Iftar Madani Cheras yang disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, yang turut melancarkan inisiatif “Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan”, satu usaha memperkukuh kerjasama antara institusi masjid dan golongan belia dalam memperkasa aktiviti keagamaan serta kesukarelawanan sepanjang Ramadan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyerahan sumbangan kepada golongan memerlukan, termasuk anak yatim dan penerima bantuan daripada agensi berkaitan, selain penyampaian mushaf Al-Quran kepada surau-surau sekitar Cheras sebagai usaha memperluaskan dakwah dan penghayatan Al-Quran dalam komuniti.
Program ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada kariah masjid, belia, pelajar institusi pengajian, wakil surau serta masyarakat setempat yang hadir memeriahkan sambutan Ramadan secara bersama.
Penganjuran program ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara institusi masjid, pertubuhan masyarakat dan organisasi belia seperti Majlis Belia Malaysia mampu memperkukuh perpaduan komuniti serta menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang inklusif dan dinamik.




































