MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM harap kepimpinan baharu KBS perkukuh agenda pembangunan belia

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) berharap kepimpinan baharu yang menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat memastikan agenda pembangunan belia kekal relevan, berpaksikan realiti sebenar anak muda serta digerakkan melalui dasar yang berasaskan data dan suara akar umbi.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata peranan pertubuhan belia sebagai rakan strategik kerajaan perlu diperkukuh dengan penekanan kepada agenda ekonomi belia, pekerjaan bermaruah dan pembangunan inklusif yang merangkumi semua lapisan belia.

Beliau berkata, pelantikan Dr Mohammed Taufiq Johari dan Mordi Bimol, masing-masing sebagai Menteri serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, berlaku ketika belia negara berdepan cabaran besar termasuk kos sara hidup, kebolehpasaran graduan, perubahan dunia kerja dan isu kesejahteraan mental.

“Kita menyambut baik pelantikan Dr Mohammed Taufiq dan Mordi menerajui KBS dan berharap mereka dapat memastikan agenda pembangunan belia terus relevan melalui dasar berasaskan data serta suara akar umbi.

“MBM juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Menteri dan Timbalannya, Hannah Yeoh serta Adam Adli, atas sumbangan serta komitmen mereka sepanjang menerajui KBS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelantikan Dr Mohammed Taufiq dan Mordi diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang semalam sebagai sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan MADANI, bagi mengisi beberapa jawatan yang dikosongkan.

Mohd Izzat turut menyatakan komitmen MBM menjadi rakan kolaborasi KBS yang kritikal tetapi konstruktif demi memastikan kepentingan belia sentiasa dipelihara. – BERNAMA

Artikel penuh :

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1486134/mbm-harap-kepimpinan-baharu-kbs-perkukuh-agenda-pembangunan-belia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »