MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam insiden penghinaan serta penggunaan tidak wajar Jalur Gemilang, agar menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Ketua Penerangannya, Mohd Syafiq Ridzwan Jamaludin berkata, tindakan itu penting bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mencemarkan imej negara, apatah lagi ketika rakyat sedang menyambut Bulan Kebangsaan dan Hari Kemerdekaan ke-68.
“Perbuatan biadab sebegini bukan sahaja mencemar sambutan kemerdekaan, malah menconteng arang kepada perjuangan nenek moyang yang mengorbankan darah dan nyawa demi kemerdekaan.
“Insiden seumpama ini juga dilihat sebagai sengaja dilakukan saban tahun menjelang sambutan kemerdekaan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Menurut beliau, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan, kehormatan dan identiti negara, justeru tidak ada alasan untuk mana-mana pihak, khususnya rakyat Malaysia, untuk mendakwa tidak faham atau keliru berhubung penggunaannya.
MBM menegaskan kesalahan menghina atau mempamerkan bendera secara salah adalah pelanggaran serius di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta peraturan berkaitan bendera negara.
Katanya, hukuman maksimum termasuk denda dan penjara wajar dikenakan bagi mengelakkan insiden berulang.
“Tindakan tegas ini bukan sahaja untuk mempertahankan maruah Jalur Gemilang, malah memastikan generasi muda mempelajari bahawa menghormati simbol negara adalah tanggungjawab bersama,” katanya.
Sementara itu, melalui inisiatif Reach Out Komuniti Rakan Ekspresi, MBM akan melaksanakan Kempen Semarak Kemerdekaan dengan mengedarkan Jalur Gemilang secara percuma di kawasan terpilih di seluruh negara sepanjang Ogos dan September, bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan belia. — Edisi 9
Artikel penuh :