SEREMBAN 6 Julai – Majlis Belia Malaysia (MBM) melalui Relawan MBM, MyFundAction dan Majlis Belia Negeri Sembilan telah mengadakan simbolik penyerahan sumbangan berupa 100 kotak Sinar Kasih kepada kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun di kediaman beliau di sini.
Kotak bantuan Sinar Kasih ini mengandungi barang-barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan lain-lain akan diagihkan kepada golongan asnaf, OKU dan keluarga belia B40 di sekitar Negeri Sembilan. Pengagihan bantuan ini digerakkan melibatkan kerjasama majlis belia daerah-daerah dan persatuan belia setempat.
Sinergi kebaikan ini merupakan kesinambungan dari beberapa siri misi prihatin yang dilaksanakan oleh Relawan MBM dengan rakan strategik MyFundAction dan syarikat-syarikat penaja dalam membantu golongan yang terjejas bermula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bulan Ramadhan, Syawal dan yang terkini bantuan mangsa banjir di Johor.
Penyerahan disampaikan oleh Cik Shahidah Othman, Ketua Unit Operasi Lapangan MyFundAction sambil disaksikan Sdr. Jufitri Joha, Presiden MBM dan kepimpinan Majlis Belia Negeri, Negeri Sembilan
Seusai majlis, YAB Menteri Besar Negeri Sembilan turut meluangkan masa berbincang dengan kepimpinan MBM, negeri dan daerah mengenai hal-hal pembangunan belia. Hadir sama YB Mohamad Taufek Abd Ghani, Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan.