MAJLIS BELIA MALAYSIA

MBM Cadang Kembalikan GST Pada Kadar Tiga Peratus

PETALING JAYA: Majlis Belia Malaysia (MBM) mencadangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikembalikan dan ditetapkan pada kadar tiga peratus.

Naib Presiden MBM, Datuk Syed Osman Mohamed berkata, ketetapan GST pada kadar itu merupakan antara inisiatif dalam menambah pendapatan negara bagi menangani kenaikan inflasi dan kos sara hidup rakyat.

Menurutnya, GST berupaya mengembangkan pendapatan asas negara sekali gus membantu kebajikan rakyat khususnya golongan belia.

“Sistem pencukaian ini mampu membantu belia dalam pelbagai perkara serta menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat.

“Ia (GST) juga mampu mengurangkan jurang pendapatan, menarik pelaburan dan mengukuhkan kekuatan fiskal kerajaan.

“Kutipan hasil GST boleh dikembalikan kepada golongan B40 dan M40 dalam bentuk bantuan tunai rakyat yang jauh lebih besar, berbanding dengan nilai GST yang dibayar oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, pengembalian GST dijangka dapat membantu kerajaan menjana hampir RM20 bilion setahun berbanding sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Jelasnya, rakyat perlu berfikir dan sedar kerajaan tidak banyak pilihan pada masa ini, di samping tanggapan beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab mula memainkan sentimen politik sempit bagi meraih sokongan dengan mewujudkan persepsi negatif mengenai GST.

“Semua pihak perlu memainkan peranan dalam meyakinkan rakyat mengenai kelebihan dan kebaikan pelaksanaan GST.

“Sebagai rakyat, kita perlu bantu kerajaan dalam memastikan negara terus mampu berdaya saing, mengukuhkan ekonomi seterusnya kembali membantu rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, MBM mencadangkan apabila GST diperkenalkan semula kerajaan perlu memperbanyakkan lagi program subsidi bersasar antaranya menetapkan harga RON95 pada kadar RM1.85 per liter, mengecualikan cukai jalan bagi semua jenis kenderaan 2,000cc ke bawah.

“Selain itu, mengurangkan harga tol dalam bandar dan lebuh raya PLUS, memberikan diskaun atau pengecualian pinjaman pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar memperoleh CGPA 4.0 dan 3.5 ke atas,” ujarnya.

Artikel penuh :

https://sumberkini.my/mbm-cadang-kembalikan-gst-pada-kadar-tiga-peratus/

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »