KELANA JAYA, 9 Dis – Sempena Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2024 hari ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) mengulangi tekadnya untuk bersama-sama kerajaan memberi kesedaran kepada masyarakat melalui advokasi berterusan tentang jenayah rasuah.
Dengan tema ‘Bersatu Bersama Belia Memerangi Rasuah: Membentuk Integriti Hari Esok’, merupakan seruan kepada setiap lapisan masyarakat khususnya belia untuk menggembleng tenaga dan berjuang bersama-sama ke arah melahirkan generasi kalis rasuah.
Presiden MBM, turut menyampaikan ceramah dalam sesi perkongsian dengan topik “Impak Belia Tolak Rasuah”
“MBM percaya, dengan pendekatan yang holistik dan berterusan, gejala rasuah di kalangan belia dapat dikurangkan dan integriti serta nilai murni dapat dipupuk di kalangan generasi muda”, ujar Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi dalam ucapannya.
Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan Bendahari Kehormat MBM, Sdr. Mohd Izham Ahmad.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang berlangsung di Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Kelana Jaya.