Selangor | 16 Disember – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dan Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Sdr. Khairul Rizam Abu Samah telah mengadakan kunjungan rasmi ke Pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Petaling Jaya.
Pertemuan ini bertujuan membincangkan perancangan program belia menjelang Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.
MBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato’ Azmir Saifuddin atas penerimaan positif dan sokongan terhadap perancangan program yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.
Antara kerjasama utama yang dirancang adalah pelaksanaan Festival Filem Belia ASEAN yang dijangka menjadi platform berprestij dalam memperkasakan kreativiti dan bakat belia di rantau ini.
FINAS turut menyampaikan penghargaan kepada MBM dan rakan-rakan strategik lain atas sokongan berterusan dalam merealisasikan aspirasi industri perfileman Malaysia, khususnya dengan peruntukan bajet khas bagi program yang melibatkan belia pada tahun 2025.
Turut hadir mewakili Sekretariat MBM ialah Sdri. Hasinah dan Sdr. Muhammad Syahmi Shamsudin.