KUALA LUMPUR 5 Okt – Setelah menjelajah ke beberapa buah negeri, program Reach Out MBD & Community kembali ke Zon tengah dengan pelaksanaan di Ibu kota.
Lokasi pertama berlangsung di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri dikendalikan oleh Majlis Belia Kawasan Titiwangsa.
Antara pengisian aktiviti pada program tersebut ialah zumba fitness, sesi pengucapan awam, demonstrasi silat dan perkongsian ikon belia. Selain itu, turut diadakan pameran kerjaya ReSkills dan peluang menyambung pendidikan bersama MAHSA University.
Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Johari Abdul Ghani merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa hadir merasmikan program ini.
Beliau dalam ucapannya menyambut baik inisiatif ini dalam memperkasa kepimpinan belia dan anak muda khususnya di peringkat akar umbi.
Pada majlis sama, beliau menyampaikan Anugerah Ikon Belia Titiwangsa 2024 kepada wartawan TV3, Juliana Sharin dan Puteri.
Program Reach Out menampilkan penglibatan belia akar umbi di seluruh negara bertujuan memperkasakan komuniti melalui pelbagai aktiviti dibawah Rakan Muda dalam segmen Rakan Ekspresi.
Penganjurannya merupakan kerjasama daripada MBM, KBSMalaysia dan rakan strategik Chery Malaysia dan Projek Belia Mahir.
Hadir sama Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Naib Presiden MBM, Datuk Syed Osman Mohamed; Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun; Exco MBM, Sdr. Ibnu Isa; Penolong Pendaftar Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia, Puan Nurhamizah Kamarun Majid; Naib Presiden Eksekutif Chery Malaysia, Encik Chen Gang; Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Sdr. Khairul Rizam Abu Samah; Pengerusi MBK Titiwangsa, Sdr. Nik Faisullah Reed dan kepimpinannya.
Tahniah dan terima kasih MBK Titiwangsa dan belia-belia setempat yang menjayakan program ini!