MAJLIS BELIA MALAYSIA

Malaysia intai Asean sebagai tempat tinggal selesa untuk semua – TPM

2014/08/08

KUALA LUMPUR: Gagasan ‘Asean Berteraskan Rakyat’ yang bakal dilaksana Malaysia selaku Pengerusi Asean tahun depan bertujuan menjadikan rantau ini tempat tinggal yang selesa untuk semua lapisan penduduk, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia merujuk kepada aspek seperti standard kehidupan lebih baik, tadbir urus kerajaan lebih efektif dan responsif, pengupayaan golongan wanita, pengukuhan perlindungan persekitaran serta tawaran peluang lebih baik untuk semua anggota masyarakat.

Beliau berkata Malaysia amat komited terhadap usaha mengukuhkan Asean sebagai pertubuhan serantau yang berwibawa.

“Ia bermaksud kewujudan masyarakat yang berkongsi perasaan bahawa mereka mempunyai satu identiti sama dan hala tuju strategik serupa di bawah naungan pertubuhan serantau lebih kukuh dikenali sebagai komuniti Asean,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika melancarkan Festival Makanan dan Kebudayaan Asean bersempena sambutan Hari Asean 2014 di sini malam ini, yang diadakan serentak dengan rumah terbuka Aidilfiti anjuran Majlis Belia Malaysia.

Muhyiddin menegaskan program Asean yang telah dirangka perlu diberi keutamaan ke arah merapatkan semua warganya.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga ingin memberi penekanan terhadap aktiviti Asean yang memberi tumpuan kepada penglibatan golongan belia.

“Dalam hal ini, saya amat menggalakkan program dan aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan dalam kalangan golongan muda Asean,” katanya.

Beliau juga berkata suasana aman di rantau ini berjaya menarik pelaburan asing bukan sahaja ke Malaysia bahkan negara Asean lain.

“Hasilnya, Asia Tenggara menjadi rantau yang makmur dan teguh, dan seterusnya membolehkan Asean memainkan peranan utama dalam hal-hal serantau,” katanya.

Asean ditubuh oleh lima negara asas iaitu Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand melalui satu perjanjian dikenali sebagai Deklarasi Bangkok yang dimeterai pada 8 Ogos 1967.

Sejak itu, keanggotaannya bertambah dengan penyertaan Brunei Darussalam, Laos, Kemboja, Myanmar dan Vietnam.

Muhyiddin berkata kewujudan Asean membawa manfaat amat besar kepada Malaysia dengan suasana stabil dan aman selama hampir 50 tahun di rantau ini yang membolehkannya melaksanakan pembangunan sosioekonomi secara pesat.

Dalam ucapannya, beliau menyentuh kesedihan yang dirasai negara dan dunia berikutan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 pada 8 Mac dan nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai lepas.

“Di sebalik kedukaan dan kekecewaan yang dirasai berikutan kedua-dua tragedi itu, Malaysia menghargai serta terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh negara anggota Asean serta semua penduduk dunia.

“Ia menggambarkan perpaduan dalam kepelbagaian. Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas sokongan yang diberikan kepada kita,” katanya.

Mengulas Festival Makanan dan Kebudayaan Asean anjuran MBM, Muhyiddin berkata ia merupakan inisiatif yang amat baik dalam menghayati gagasan Asean melalui medium makanan tradisi serta kebudayaan.

“Penganjurannya sempena rumah terbuka Aidilfitri pula memberi peluang kepada masyarakat Asean yang hadir untuk menikmati kemeriahan dan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dalam menyambut perayaan ini,” katanya. – BERNAMA

Hak Cipta Terpelihara Berita Harian 2012 Emel kami untuk sebarang maklum balas.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »