Kota Kinabalu, 9 Nov 2015 – Pengaruh media sosial terhadap masyarakat terutamanya golongan muda amatlah besar. Media sosial yang berkembang dengan pantas tanpa mengenal sempadan memungkinkan maklumat disebar secara meluas dalam sekelip mata sahaja. Maklumat yang disebar jika tidak dikawal, ditapis dan diselidik terlebih dahulu boleh mengundang kepada banyak keburukan.
Sedar dengan perkara itu, Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Rakan Muda, Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) telah mengadakan program Literasi Media Kreatif 2015 yang kini telah sampai ke Zon Sabah.
Program kali ini yang diadakan pada 6 hingga 8 November 2015 di Yaho Hotel, Sembulan telah mendapat sokongan penuh dari Majlis Belia Sabah (MBS) dengan penyertaan seramai 30 orang belia terdiri daripada ahli-ahli persatuan gabungan MBS.
Program yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Rakan Muda KBS, YM Engku Mohd Azmi bin Engku Mohd Basri ini turut mendedahkan peserta bagaimana memaksimumkan media sosial untuk membantu menyebarluas maklumat dan aktiviti pertubuhan dengan berkesan dan tepat. Peserta juga turut dibawa ke kerja-kerja lapangan di beberapa rumah kebajikan sekitar Kota Kinabalu.
Turut sama dalam menjayakan program ini Sdr. Azuwan Marjan @ Norjan, Timbalan Presiden MBM, Sdr. Mohammad Rizan Hassan, Ketua Penerangan MBM dan Sdr. Hasnul Haniff Harun, Exco MBM.