Kuala Lumpur | 3 Disember – Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menerima kunjungan istimewa YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan bagi melihat sendiri gerak kerja semasa MBM melalui Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia (MYVOC) di bawah #Projectunderwear dalam Misi Bantuan Banjir.
Turut serta dalam sesi kunjungan ini Puan Azura Abidin, Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) bersama beberapa pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Kehadiran buat julung kali YB Menteri ke Wisma MBM ini disambut oleh Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid; Presiden MBM.
#projectunderwear memberi fokus kepada sumbangan berupa pakaian dalam dan tuala wanita, seluar dalam lelaki dan set ubat gigi yang akan diagihkan kepada mangsa banjir di di pusat-pusat pemindahan (PPS) di negeri-negeri terlibat dengan musibah ini.
YB Menteri turut teruja dengan inisiatif MBM ini dan menyatakan sokongan penuh daripada KBS di bawah inisiatif Rakan Muda – Rakan Prihatin dalam menggerakkan projek ini.
“Ini juga memperlihatkan keprihatinan MBM dalam memastikan kebersihan di kalangan mangsa-mangsa banjir dapat dijaga bagi mengelakkan sebarang penyakit atau masalah kesihatan”, ujar beliau.
Projek sama telah dilaksanakan MBM pada misi banjir 2021 yang digerakkan dengan penglibatan sukarelawan-sukarelawan daripada majlis belia negeri dan daerah.
Untuk permulaan, MBM mensasarkan bantuan awal sebanyak 3,000 pek untuk diedarkan di beberapa buah PPS di Kelantan dan Terengganu.
Ini merupakan inisiatif awal yang digerakkan oleh MBM sebelum bantuan pasca banjir menyusul seperti kerja-kerja pembersihan, bantuan barangan, pakaian dan lain-lain.
Hadir sama Datuk Syed Osman Mohamed, Sdri. Lam Yoke Theng (Yuki), Naib Presiden MBM; Sdr. Hasnul Haniff Harun, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Mohd Ismail Mahyudin, Sdri. Jessy Ng, dan Puan Asya Rahman, Exco MBM.
Terima kasih kepada pihak Zaitun Beauty Industri Sdn Bhd kerana turut menyumbang 270 kotak ubat gigi beserta berus gigi untuk diagihkan kepada mangsa banjir.