KOTA BHARU 14 Dis – Kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah mengadakan lawatan ke pejabat baharu Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK) baru-baru ini. Kunjungan ini bagi membincangkan hala tuju dan perancangan program yang bakal dilaksanakan pada tahun 2026.
Dalam pertemuan tersebut, Presiden MGBK Sdr. Khairul Azhar Kamaruzaman telah membentangkan beberapa cadangan program, antaranya penganjuran sukan kebudayaan Negeri Kelantan seperti permainan tradisional gasing dan wau bulan bagi memupuk semangat cintakan warisan budaya dalam kalangan belia.
Selain itu, berita baik turut dikongsikan buat belia Kelantan berkaitan peluang pendidikan dalam bidang TVET sebagai salah satu usaha memperkasa kemahiran dan kebolehpasaran belia di Negeri Kelantan.
Pada masa sama, MBM turut menyerahkan 320 pek kebersihan dan penjagaan diri kepada MGBK sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.



