SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) menolak cadangan untuk menaikkan had umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun kerana bimbang ia akan menjejaskan peluang pekerjaan serta pembangunan golongan belia di negara ini.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata langkah menaikkan umur persaraan sebelum ini – daripada 55 kepada 60 tahun pada tahun 2013 – sudah pun dikaitkan dengan kehilangan hampir sejuta peluang pekerjaan baharu kepada graduan dan pencari kerja muda.
“MBM menolak cadangan tersebut kerana dalam konteks semasa, Malaysia melahirkan lebih 300,000 graduan setiap tahun dan ramai daripada mereka masih bergelut mendapatkan pekerjaan tetap.
“Jika umur persaraan dilanjutkan, beban caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan tanggungan kos gaji pekerja lebih senior yang mahal akan berpanjangan lebih lama,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, situasi ini boleh menjejaskan kemampuan majikan untuk menggaji tenaga kerja baharu dan lebih produktif dalam kalangan belia.
“MBM berpandangan kenyataan Yang Berhormat Menteri terlalu umum dan lebih mencerminkan situasi penjawat tinggi sektor profesional. Hakikatnya, tidak semua warga emas berada dalam keadaan fizikal yang membolehkan mereka terus bekerja secara efektif.
“Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tahun 2021, satu daripada tiga individu berumur lebih 60 tahun menghadapi kekangan dari segi keupayaan fizikal, selain berisiko tinggi menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan masalah jantung,” jelasnya.
Mohd Izzat turut menyifatkan cadangan menaikkan had umur persaraan sebagai kurang sensitif terhadap realiti jurang antara generasi dalam pasaran kerja.
“MBM percaya peralihan tenaga kerja antara generasi perlu diurus secara seimbang dan inklusif. Ini bukan isu memilih antara yang muda atau tua, sebaliknya soal mewujudkan dasar yang adil demi menjamin keterjaminan ekonomi semua pihak. “Meningkatkan umur persaraan bukan sekadar soal kemampuan bekerja tetapi soal keadilan ekonomi dan hak generasi muda untuk memperoleh peluang yang saksama,” katanya lagi.
Artikel penuh :