KUALA LUMPUR, 9 April – Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini menerima kunjungan hormat daripada Majlis Belia India Malaysia (MIYC) yang diketuai oleh Presidennya, Sdr. Dhanesh Basil, bertempat di Wisma MBM.
Pertemuan ini membuka ruang perbincangan strategik ke arah memperkukuh kerjasama antara kedua-dua organisasi, khususnya dalam memperluas penglibatan belia dalam program pembangunan nasional.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk penyertaan aktif MIYC dalam program anjuran MBM seperti Tunas MADANI serta inisiatif-inisiatif lain yang memberi impak kepada pembangunan belia. Selain itu, kedua-dua pihak turut menzahirkan komitmen untuk mempergiat kerjasama secara lebih proaktif dalam pelaksanaan program akan datang.
Dalam sesi yang sama, MIYC turut membentangkan laporan ringkas berkenaan pencapaian dan pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun 2025 sebagai usaha memperkasakan peranan organisasi dalam kalangan komuniti belia India.
Sdr. Dhanesh turut memaklumkan bahawa kepimpinan MIYC berjaya menarik minat penyertaan belia dan beliawanis India sebagai pelapis kepimpinan, selaras dengan penguatkuasaan had umur belia bawah 30 tahun.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh ekosistem pembangunan belia yang inklusif, progresif dan berdaya saing.















