MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kuasa Belia, Kuasa Digital: Membangun Malaysia Pintar

Oleh :

Ts Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Pensyarah Kanan Sains Sukan UTM

Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST UTM)

Dalam era Revolusi Industri 5.0 yang di pacu oleh kecerdasan buatan (AI), pembangunan belia menjadi aspek yang sangat kritikal dalam menentukan masa depan negara. Belia bukan sahaja merupakan aset modal insan, tetapi juga peneraju utama dalam meneroka bidang baharu yang berteraskan teknologi. Justeru, strategi khusus perlu di rangka bagi memastikan belia Malaysia bukan sahaja tidak ketinggalan, malah menjadi peneraju dalam ekosistem digital dan teknologi pintar.

Strategi pertama yang penting adalah memperkukuh pendidikan digital dan teknikal di peringkat awal. Kurikulum pendidikan harus disemak semula untuk memasukkan kemahiran seperti pengaturcaraan, kecerdasan buatan, analisis data dan pemikiran kritikal. Pendidikan vokasional dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) juga harus diperkasa agar belia tidak hanya bersedia dari segi teori, tetapi juga mahir dalam amalan industri sebenar.

Kedua, kerajaan dan sektor swasta perlu membina ekosistem inovasi yang mesra belia. Inkubator start-up, pusat teknologi belia dan dana permulaan perlu di wujudkan bagi merangsang kreativiti serta keusahawanan digital. Dalam konteks ini, pelibatan belia dalam projek-projek teknologi seperti pembangunan aplikasi, pertanian pintar dan automasi harus di beri keutamaan melalui geran dan mentor-mentee profesional.

Ketiga, pembangunan sahsiah dan nilai kepimpinan belia tidak boleh di abaikan. Dalam dunia yang semakin berasaskan teknologi, nilai integriti, empati, kerja berpasukan dan adab harus di bentuk melalui program seperti kepimpinan sosial, sukarelawan digital dan latihan kendiri berasaskan AI. Ini penting bagi memastikan teknologi di gunakan secara etika dan bertanggungjawab.

Strategi keempat melibatkan keterlibatan aktif belia dalam perancangan dasar dan polisi. Platform digital seperti forum belia maya, perbincangan terbuka dan aplikasi penyertaan online perlu dibangunkan agar suara dan idea belia dapat disalurkan terus kepada pembuat dasar. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kepercayaan terhadap institusi, tetapi juga melatih belia untuk menjadi warganegara digital yang aktif.

Seterusnya, sektor sukan, seni dan budaya harus di jadikan jambatan bagi menyepadukan teknologi dengan jati diri belia. Misalnya, penggunaan AI dalam analisis prestasi sukan, pameran seni digital dan warisan budaya maya mampu menarik minat belia serta membina identiti nasional dalam konteks teknologi. Inisiatif seperti ini juga membuka peluang kerjaya baharu dalam bidang kreatif digital.

Tambahan pula, strategi memperkasa belia harus mengambil kira aspek kesihatan mental dan kesejahteraan emosi. Dalam dunia digital yang pantas dan berdaya saing tinggi, ramai belia mengalami tekanan. Maka, program keseimbangan digital seperti penggunaan aplikasi kesihatan mental, sesi psikologi atas talian dan promosi gaya hidup sihat menggunakan platform teknologi amat diperlukan. Kesimpulannya, agenda membangunkan belia di zaman AI dan Revolusi Industri 5.0 perlu bersifat holistik, berasaskan teknologi dan berteraskan nilai. Dengan strategi yang tepat dan pelaksanaan yang menyeluruh, belia Malaysia mampu muncul sebagai peneraju masa depan, bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi sebagai pencipta dan penggerak transformasi digital negara.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis

Bertarikh : 20 Mei 2025

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »