MAJLIS BELIA MALAYSIA

Konvensyen Pra-Universiti Generasi Madani 2025 Perkasa Karakter Kelompok Belia Awal

KLANG 11 Nov – Seramai 700 pelajar Pra-Universiti Tingkatan Enam dari seluruh negara telah menyertai Konvensyen Pra-Universiti Generasi Madani Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung pada 9 hingga 11 November 2025 di KSL Esplanade Klang.

Program ini merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai usaha memperkukuh kepimpinan pelajar, memperkasa suara anak muda serta memperluas penghayatan konsep Malaysia MADANI dalam kalangan pelajar prauniversiti.

Majlis penutupan disempurnakan oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan yang menegaskan kepentingan melahirkan pelajar berfikir hikmah, berdaya kepimpinan dan berperanan aktif dalam masyarakat.

“Pelajar prauniversiti ialah pemimpin masa hadapan. Mereka bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi juga perlu berjiwa besar dan mampu menerajui perubahan berteraskan nilai MADANI,” ujar beliau.

Konvensyen ini menampilkan pelbagai lokakarya dan makmal belia seperti “Manusia dan Peranannya”, “Dari Ilmu ke Hikmah” serta “Dari Idea ke Gerakan” yang memberi fokus kepada pembangunan karakter, kemahiran kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

Selain itu, sesi “Inspirasi Suara Anak Muda”, “Manifesto Pemimpin Pelajar” dan “Pilihan Raya Majlis Perwakilan Pelajar Tingkatan Enam Kebangsaan” memberi peluang kepada peserta memahami amalan demokrasi, membina keyakinan diri serta mengasah kemahiran komunikasi.

MBM turut mengendalikan sesi “Forum Kesedaran Belia Bitara” yang membuka ruang kepada peserta untuk mengenali persatuan belia dan selain menekankan peranan belia pelajar untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

Konvensyen berakhir dengan Majlis Penutupan oleh Presiden MBM yang merumuskan komitmen bersama untuk memperkukuh budaya ilmu, memperkasa nilai MADANI dan mempergiatkan peranan pelajar prauniversiti sebagai ejen perubahan positif dalam masyarakat.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »