BANGI 21 Mac – Kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM) telah menghadiri Konvensyen Perpaduan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam 2023 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertempat di Hotel Tenera Bangi.
Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Konvensyen kali ini membuka medan kepada NGO-NGO Islam untuk mengemukakan pandangan membina terkait isu-isu yang menyentuh kepentingan negara dan ummah.
Selain membicarakan pelbagai isu semasa seperti pendidikan, ekonomi sosial dan perpaduan, persidangan ini turut menyentuh mengenai hala tuju badan dakwah ini menjelang 50 tahun penubuhannya tahun hadapan.
Sepuluh resolusi terhasil daripada perhimpunan lebih 400 orang wakil wakil NGO Islam yang hadir.
Pimpinan belia antaranya Ketua Penerangan MBM, Sdr. Fazril Mohd Saleh merangkap Setiausaha Agung Angkatan Belia Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Exco MBM, Sdr. Ahmad Farhan Rosli yang juga Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut serta sebagai pembicara dalam sesi forum di persidangan ini.
Hadir sama Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun dan Presiden Pergerakan Belia India Muslim Malaysia, Sdr. Ibrahim Mohamed.