MAJLIS BELIA MALAYSIA

Konvensyen Belia Kebangsaan 2025 tegaskan aspirasi digital Belia Malaysia

KUALA LUMPUR 15 Mei – Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK) 2025 yang berlangsung meriah di REXKL Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Belia Negara telah berjaya menghimpunkan lebih 300 orang belia dari seluruh negara dalam satu malam wacana yang padat, kreatif dan berimpak tinggi, menyentuh isu-isu penting dalam era kecerdasan buatan (AI), automasi dan etika digital.

Mengangkat tema “Belia dan AI – Dari Inovasi ke Dominasi”, konvensyen ini menjadi medan strategik yang menyaksikan pertembungan idea pakar industri, penggubal dasar dan golongan belia sendiri dalam meneroka cabaran serta peluang teknologi AI terhadap masa depan generasi muda.

Dalam ucapan penutupnya, YB Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan menegaskan keperluan untuk memperkasa belia sebagai arkitek kepada masa depan digital negara :

“Malaysia sedang menuju ekonomi AI yang berteraskan inovasi canggih dan tadbir urus beretika. Belia bukan sekadar pengguna, mereka adalah pengemudi perubahan masa depan,”

Beliau turut menyeru agar teknologi digunakan bukan sahaja untuk pencapaian peribadi tetapi untuk menyelesaikan masalah masyarakat termasuk kemiskinan, pendidikan dan kelestarian alam, selain menyentuh kepentingan teknologi sebagai keperluan asas dalam era baharu, di mana data, kod dan inovasi menggantikan senjata fizikal sebagai sumber kekuatan negara.

Ucapan beliau menggesa para belia untuk menguasai kemahiran seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, automasi dan blockchain dengan nilai etika yang tinggi.

Antara sorotan utama sepanjang konvensyen:

Sesi wacana panel: Menampilkan tokoh seperti SAC Datuk Nik Ezanee (JPJKK Kedah),

Dr. Afnizanfaizal (MRANTI), Mohd Nurul Azammi (MIGHT), Ledwina In Jia Fang (Rev Media), serta wakil MBM dan startup AI muda.

Persembahan kreatif: Termasuk batik visual, tarian neon dan segmen DJ yang memberi nafas segar kepada pengisian malam.

Gimik pelancaran: Penyerahan Bendera Tunas Madani 30 dan pengumuman lokasi rasmi sambutan Hari Belia Negara seterusnya.

Bacaan Ikrar Belia: Menzahirkan komitmen generasi muda untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara secara bertanggungjawab dalam era digital.

Statistik Terkini Menyokong Aspirasi Digital Belia:

• 84% belia Malaysia aktif menggunakan internet dan telefon pintar setiap hari.

• 48% belia berminat menjadikan bidang teknologi sebagai kerjaya (DOSM, 2024).

• 3 daripada 5 syarikat pemula AI di Malaysia diasaskan oleh belia bawah 35 tahun.

• 36,000 belia telah dilatih dalam bidang teknologi sejak 2023 melalui pelbagai inisiatif kerajaan.

Antara inisiatif utama kerajaan yang diketengahkan:

• Penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) pada tahun 2024.

Malaysia AI Roadmap 2021–2025 untuk pembangunan bakat tempatan.

Program Belia Mahir Digital (BMD) bersama Microsoft, Huawei, Google.

Geran Inovasi Belia hingga RM100,000 bagi projek AI dan teknologi pintar.

MyDigitalMaker & Pusat NADI untuk belia luar bandar.

• Sasaran 100,000 tenaga mahir AI menjelang 2030 melalui pendekatan Whole of Government.

Majlis Belia Malaysia (MBM) selaku penganjur menyifatkan konvensyen ini sebagai titik tolak kepada lonjakan paradigma belia Malaysia dalam membina masa depan yang bukan sekadar canggih teknologinya, tetapi juga kukuh nilai dan etika.

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, juga mengajak warga belia Malaysia untuk beramai-ramai memeriahkan sambutan Hari Belia Negara 2025 yang akan disambut secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 13–15 Jun akan datang.

Kata Akhir Timbalan Menteri:

“AI tidak menggantikan manusia, ia memperkukuh keupayaan insan. Belia Malaysia mestibersedia bukan sahaja untuk menguasai teknologi, tetapi juga menjadi pengamal dan pemimpin yang beretika dan berjiwa rakyat.”

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »