Kuala Lumpur | 15 Mei 2025 – Konvensyen Belia Kebangsaan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2025 telah berlangsung dengan penuh meriah semalam, melibatkan penyertaan seramai 300 orang peserta. Program ini dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bertempat di ReX KL.
Majlis telah dirasmikan oleh YB Tuan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Program dimulakan dengan persembahan kreatif pembukaan, diikuti sesi pertama bertajuk “Cabaran AI: Dari Ancaman Kepada Peluang” yang disampaikan oleh SAC Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal serta Dr. Afnizanfaizal Abdullah daripada MRANTI.
Sesi kedua dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama bertajuk “Sejauh Mana Belia Malaysia Bersedia untuk AI?” disampaikan oleh Tuan Mohd Nurul Azammi Mohd Nudri dari Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT). Manakala bahagian kedua bertajuk “Virtual Social Media Influencer: Adakah Saya Benar?” telah dibentangkan oleh Puan Ledwina In Jia Fang dari Rev Media Group.
Sesi ketiga membawa mesej harapan menerusi perkongsian monolog oleh Sdri. Nuriffah Atiqah, Exco MBM, serta pandangan oleh Sdr. Ralph Gan Jia Kang, Exco MBM, sebelum disusuli dengan bacaan Ikrar Belia yang turut dipimpin oleh beliau.
Turut diadakan ialah sesi pembentangan oleh Sdr. Kok Yuan Ting, Co-Founder Kommu AI, mengenai perkembangan industri teknologi. Majlis juga diserikan dengan pelbagai persembahan kreatif, penyerahan Jaket Rasmi Hari Belia Negara, tayangan video khas, pelancaran lokasi rasmi Hari Belia Negara 2025, serta penyerahan bendera Tunas Madani 30.

































































