BANGI 15 Mei – Sempena Hari Belia Negara 2019 Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia menganjurkan Konvensyen Belia Kebangsaan (KBK 2019) bermula jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang bertempat di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
KBK tahun ini mengangkat tema Digital Native Agenda (DNA23) sebagai usaha kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang rancak dan segar sekali gus menarik minat golongan muda menceburinya. Antara lain objektifnya adalah bagi memacu pertumbuhan ekonomi yang menjurus kepada golongan belia bagi memastikan mereka dapat memperoleh kestabilan sosial yang lebih stabil.
KBK menampilkan barisan panelis yang pakar dalam bidang digital masing-masing antaranya Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri; Pengarah Kreatif Les’ Copaque Production, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim; Pengarah Eksekutif Todak Culture, Khairul Azlan Zainal Ariffin; Founder GoCoach, Rashid Jamiran; Presiden Persatuan Usahawan Digital Selangor, Haidar Darus dan Timbalan Pengarah CESMED UKM, Prof. Madya Sr. Dr. Norngainy Mohd Tawil.
Kemuncak kepada konvensyen ini ialah kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, mantan Presiden MBM dan pengasas DNA23 menyampaikan ucaptama dan sesi soal jawab bersama audien.
Selain itu, slot khas bersama warga Orang Kelainan Upaya (OKU) memberi kesan kepada peserta-peserta konvensyen apabila ahli panel berkongsi pengalaman bagaimana mereka yang dahulunya insan sempurna diuji dengan hilang nikmat penglihatan dan bagaimana mereka bangkit semula. Adalah menjadi harapan agar konvensyen ini mencapai objektifnya dan memberi manfaat kepada belia malah negara.