KUALA lUMPUR 14 Dis – Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid telah mengadakan pertemuan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) dan Presiden Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBPP), Sdr. Hafiz Ali Anuar di Pusat Belia Antarabangsa.
Pertemuan makan tengah hari ini bukan sekadar sesi ramah mesra, tetapi menjadi medan perbincangan mendalam tentang kerjasama strategik mahasiswa Pulau Pinang bersama MBM khususnya menjelang pelaksanaan program-program kepengerusian ASEAN-Malaysia.
Sdr. Izzat Afifi menekankan pentingnya kepimpinan mahasiswa masa kini untuk melangkaui batas tradisional dengan memperkenalkan idea-idea segar yang dapat menyelesaikan isu komuniti secara menyeluruh. Dalam ucapannya, beliau menyeru mahasiswa agar menjadikan Pact of the Future sebagai panduan baharu untuk mentransformasikan kepimpinan dan pengurusan organisasi mereka, selari dengan cabaran masa depan.
Terima kasih juga diucapkan kepada Sdr. Hafiz Ali (Presiden MBN Pulau Pinang) kerana telah mengatur pertemuan ini, yang telah membuka peluang interaksi dua hala antara mahasiswa USM dan kepimpinan tertinggi MBM. Langkah ini bukan sahaja mengeratkan hubungan tetapi turut membuka ruang perbincangan yang membawa potensi besar untuk kolaborasi pada masa hadapan.
Pertemuan ini diadakan bersempena Majlis Makan Malam Alumni USM yang bakal berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur pada malam ini. Turut hadir Sdr. Muhammad Syahmi Shamsudin mewakili Sekretariat MBM.
Pertemuan ini menjadi bukti komitmen MBM dalam mendekati generasi muda, mendengar aspirasi mereka, dan membimbing mereka ke arah kepimpinan yang lebih inklusif dan berwawasan.
MBM percaya, mahasiswa bukan sekadar pewaris kepimpinan masa depan, tetapi juga pemimpin yang mampu mencipta perubahan positif hari ini.