TASHKENT 1 Julai – Delegasi Majlis Belia Malaysia (MBM) telah berjaya mengharumkan nama negara apabila mewakili Malaysia dalam program International Youth Cooperation Week on Youth Policy yang berlangsung dari 27 Jun hingga 1 Julai di Tashkent, Uzbekistan.
Delegasi ini diketuai oleh Penolong Setiausaha Agung MBM, Sdr. Abu Kadir Mubarak Ali, turut disertai Exco MBM, Sdri. Nuriffah Atiqah; Sdri. Najwa Hisham (Majlis Belia Negeri Perak); Sdri. Auni Syafini (Majlis Belia Negeri Pahang) dan Sdr. Pravin Ramakrishnan (Majlis Belia India Kebangsaan).
Program antarabangsa ini diadakan atas jemputan rasmi daripada Agensi Hal Ehwal Belia, Kerajaan Uzbekistan yang menghimpunkan pemimpin-pemimpin belia dari rantau Asia Tengah dan Asia Tenggara termasuk Tajikistan, Rusia, Kyrgyzstan dan Qatar.
Antara topik penting yang dibincangkan adalah usaha memperkasa belia menerusi kerjasama dasar, pertukaran kepimpinan, inovasi serta keusahawanan dan dialog budaya antara negara.
Malaysia turut mengambil peluang untuk berkongsi inisiatif dan dasar nasional seperti Dasar Belia Malaysia, Model Pembangunan Belia Madani 2030, Rakan Muda 2.0, dan Parlimen Belia Malaysia – yang kesemuanya memfokuskan kepada pembangunan belia yang inklusif, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Program ini bukan sekadar medan dialog, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan Uzbekistan – diterajui oleh belia, dipacu oleh matlamat bersama dan diperkuat dengan semangat kerjasama serantau.
Dalam pada itu, turut berlangsung sesi perbincangan dua hala bersama Parlimen Belia Uzbekistan yang membuka ruang ke arah penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan kemungkinan kunjungan rasmi ke Malaysia dalam masa terdekat.
















