KUALA LUMPUR 24 Nov – Persatuan Belia Buddhist Malaysia (YBAM) dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kementerian Belia dan Sukan telah menganjurkan Program Sekolah Sukarelawan Komuniti Belia Malaysia (MYVOC) selama dua hari satu malam di Le Quadri Alam Damai.
Program ini mengumpulkan seramai 40 sukarelawan belia berbilang etnik untuk melengkapi mereka dengan kemahiran, kesedaran dan kefahaman menghadapi situasi sebelum, semasa, dan selepas bencana.
Sebanyak enam sesi disusun iaitu tatacara pengurusan bencana yang disampaikan Pengarah Seksyen Pembangunan Komuniti dan Sosial, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA); asas pengendalian radio amatur oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Radio Amatur Ukhwah (KRAM); asas pertolongan cemas oleh Ahli St John Ambulans Malaysia; asas bantuan psikologi oleh pensyarah International Medical Universiti (IMU); asas sokongan Orang Kurang Upaya (OKU) oleh Presiden Majlis Belia OKU Malaysia dan air, sanitasi dan kebersihan (WASH) oleh Pengarah Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur.
Para peserta juga dibahagikan kepada empat kumpulan bagi sesi LDK sebelum pembentangan pelan tindakan persediaan menghadapi bencana di lokasi yang berbeza.
Pada majlis penutup, Setiausaha Agung YBAM, Sdr. Eow Shiang Yen berharap peserta-peserta meneruskan proses pembelajaran pelbagai aspek pengurusan bencana melalui platform dan akreditasi tempatan dan antarabangsa memandangkan Malaysia.
Pembelajaran dan aplikasi kemahiran ini bukan sahaja untuk pengurusan bencana tetapi juga agenda keselamatan dan perpaduan negara.
Majlis penutup dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.
Beliau gembira melihat penyertaaan sukarelawan belia dari pelbagai kaum dalam program ini kerana ia mempamerkan perpaduan belia dalam berganding bahu untuk berhadapan dengan bencana.
Tahniah YBAM!