KENYATAAN MEDIA
KOLABORASI MALAYSIA AIRPORTS BERSAMA MAJLIS BELIA MALAYSIA JAYAKAN
FESTIVAL TARIAN TRADISIONAL MALAYSIA (TARIAN RAMPAIAN) DI KLIA
Satu inisiatif penjenamaan Malaysia yang bakal menzahirkan pengalaman ceria di lapangan terbang serta memartabatkan seni tradisi dan keunikan negara.
KUALA LUMPUR – Kolaborasi Malaysia Airports bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) sekali lagi bakal menggegarkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dengan penganjuran Festival Tarian Tradisional Malaysia (Tarian Rampaian) pada 1 Disember 2018 bertempat di bangunan terminal, KLIA.
Penganjuran festival kali kedua ini menampilkan khazanah seni budaya senitari tradisional yang akan menghiburkan para pengunjung KLIA terutamanya pelancong tempatan dan luar negara selain salah satu usaha mempromosikan Malaysia melalui kebudayaan tempatan.
Selain mewujudkan suasana ceria di lapangan terbang, festival ini juga memberi peluang kepada golongan belia untuk mempersembahkan bakat senitari mereka. Festival ini berkonsep pertandingan di mana 20 pasukan terdiri daripada lapan hingga 10 peserta akan bertanding.
Berbeza dengan penganjuran sebelum ini yang fokus kepada tarian zapin, pertandingan kali ini diperluaskan kepada tarian rampaian yang menampilkan kepelbagaian bentuk senitari yang terdapat di negara ini.
Inisiatif ini bukan sahaja memastikan seni dan budaya terus dipelihara dan tidak hilang ditelan zaman, malah mampu memperkenalkan Malaysia ke mata dunia. Sudah tentu, sebagai pengendali lapangan terbang utama negara, Malaysia Airports berada di posisi tepat kepada usaha ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut, Pengurus Besar Komunikasi Korporat Malaysia Airports, Nik Anis Nik Zakaria yang turut hadir pada sidang media tersebut menyatakan sokongan Malaysia Airports dengan aktiviti kesenian ini. Menurut beliau, “Sebagai pengendali lapangan terbang utama di negara ini, Malaysia Airports menerusi Lapangan Terbang KL (KLIA) merupakan gerbang utama bagi pelancong antarabangsa masuk ke negara ini. Ia berada di dalam posisi yang stategik untuk memperkenalkan budaya serta tradisi Malaysia kepada para pengguna dan pengunjung lapangan terbang. Program ini juga merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Malaysia Airports di bawah program ‘Joyful Malaysia’ yang memberi penekanan khusus kepada penjenamaan Malaysia di lapangan terbang kami.
Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang sekali lagi untuk berkolaborasi bersama MBM untuk menganjurkan Festival Tarian Tradisional ini. Bukan itu sahaja, kami amat teruja kerana telah menarik minat daripada golongan belia untuk menyertai festival ini untuk mempromosi serta memelihara seni budaya warisan negara kita. Kami percaya program seperti ini akan mampu memberi ruang serta dorongan kepada golongan belia untuk berusaha mengekalkan seni budaya warisan kita”.
Setiausaha Agung MBM, Hasnul Haniff Harun berkata, pihak MBM amat berbangga dapat bekerjasama sekali lagi dengan Malaysia Airports dalam memartabatkan seni dan kebudayaan Malaysia.
“Sebagai badan induk pertubuhan belia, MBM berharap penganjuran festival ini sebagai landasan untuk mendekati golongan belia yang aktif dalam acara kebudayaan”, ujar Hasnul.
“Semoga usaha ini mampu memberi pendedahan kepada generasi muda untuk lebih mesra dengan susur galur seni budaya seterusnya memartabatkannya ke tahap yang lebih tinggi”.
Pertandingan ini menawarkan hadiah-hadiah menarik berupa wang tunai RM5,000.00 bagi Johan; RM3,000.00 untuk Naib Johan dan RM1,000.00 tempat ketiga. Di samping wang tunai, kesemua pemenang juga menerima hadiah iringan. Pertandingan ini turut menawarkan dua hadiah tambahan iaitu Koreografi Terbaik (RM500.00 beserta hadiah iringan) dan Busana & Tatarias Terbaik (hadiah RM500.00).
Mengenai Malaysia Airports
Malaysia Airports merupakan salah satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki. 39 lapangan terbang di Malaysia terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 STOLport.
Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang juga menempatkan klia2 iaitu, terminal terbaik ke-4 yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan tambang murah (seperti yang dinilai oleh Skytrax untuk tahun 2018 sedang berusaha menjadi hab penerbangan global yang lebih digemari.
Kedua-dua anugerah pemasaran terbaru yang dimenangi oleh Malaysia Airports di Routes Asia 2018 yang berprestij untuk kategori “Keseluruhan” dan “Penumpang Lebih 20 Juta” adalah bukti kepada komitmen organisasi dalam menyediakan sambungan terbaik di semua lapangan terbangnya. Selama bertahun-tahun, Malaysia Airports dan lapangan terbangnya juga telah menerima pelbagai anugerah lain yang mengakui komitmennya terhadap kecemerlangan dalam pelbagai bidang seperti perkhidmatan, penglibatan, tanggungjawab korporat dan tadbir urus.
Malaysia Airports Holdings Berhad disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Malaysia”)
Untuk maklumat lanjut mengenai MAHB, sila layari www.malaysiaairports.com.my.
Dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Korporat, Malaysia Airports. Untuk maklumat lanjut mengenai siaran akhbar, hubungi: –
Nik Anis Nik Zakaria (Pengurus Besar, Komunikasi Korporat) di 019-3350272 / nikanis@malaysiaairports.com.
atau Ayu Jamli di 019 206 7516 / idarahayu@malaysiaairports.
atau Kellyn Ching di 019 655 5800 / kellynching@malaysiaairports.
atau Nurul Fatin Hisham di 019-403 6155 / nurulfatin@malaysiaairports.
atau e-mel: mahbmedia2@gmail.com